Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kad Hari Raya sebagai pengganti diri

    Oleh Haji Mohd Daud Abd Rahman

     

    KENANGAN yang tidak dilupakan suatu ketika dahulu adalah ketika menjelangnya Hari Raya Aidilfitri di mana anak-anak muda pada ketika itu akan bersiap sedia melakar atau melukis lukisan yang pelbagai.

    Bermacam-macam jenis ilham tercipta dan dibentuk pada kertas lukisan yang mana tidak lari dengan tema ‘Hari Raya’. Antara jenis lukisan yang direka adalah suasana pemandangan, bunga, masjid, bulan dan banyak lagi. Ada juga yang turut menyelitkan gambar diri sendiri dan pasangan dalam lukisan tersebut. Alat yang digunakan untuk melakar sesebuah lukisan itu adalah dengan hanya menggunakan pensel.

    Hasil lukisan yang sudah dilakar kemudiannya dibawa ke kedai gambar untuk dijadikan kad hari raya dalam saiz gambar 3R, di mana harga bagi 12 keping pada ketika itu adalah $3 sahaja. Pada zaman itu, warna kad hanyalah dalam warna hitam putih dan akan siap dicetak dalam tempoh satu minggu.

    Apabila gambar-gambar kad itu sudah siap, maka si pengirim akan menghantarnya kepada rakan-rakan sekolah mereka, dengan menulis kata-kata indah bagi menjemput berkunjung ke rumah dengan diselitkan tanda tangan di belakang kad tersebut.

    Koleksi kad Hari Raya klasik yang dikumpulkan oleh penulis.
    Antara koleksi kad-kad Hari Raya penulis.

    Ketika menunggu balasan kad raya daripada teman-teman, golongan muda akan menantikannya dengan penuh harapan, menantikan jawapan atau balasan kad-kad Hari Raya mereka melalui posmen. Pada masa itu, mereka akan menunggu di luar rumah ketua kampung. Bagi mereka yang tinggal di Kampong Ayer, mereka sanggup menunggu lama menantikan bungkusan yang dibawa oleh posmen berisi kad-kad Hari Raya. Apabila sudah mendapatkannya, wajah mereka akan berseri-seri gembira dan tersenyum riang. Mereka akan membuka dan membaca isi kad Hari Raya itu di rumah mereka.

    Apabila sudah tiba Hari Raya, kad-kad tersebut akan digantung di ruang tamu dengan menggunakan tali. Begitulah kenangan-kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh penulis dan masih segar dalam ingatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda