Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Kad ketibaan warga asing mula 9 Februari

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) akan mula melaksanakan pendaftaran maklumat ketibaan bagi warga asing secara elektronik yang dikenali sebagai E-Arrival Card bermula 9 Februari ini.

    JIPK menjelaskan bahawa kad berkenaan adalah bagi menggantikan Borang 19 (Embarkation/Disembarkation Form) yang digunakan ketika ini.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu mengingatkan bahawa pendaftaran E-Arrival Card adalah dimestikan kepada semua warga asing yang masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan imigresen sama ada laut, udara dan darat.

    Ini adalah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 29 (2), Peraturan-Peraturan Imigresen.

    Manakala itu, pendaftaran E-Arrival Card tidak diperlukan bagi mereka yang hanya membuat persinggahan (transit) di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei atau mana-mana port of entry di Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya tanpa memasuki Negara Brunei Darussalam.

    Pendaftaran E-Arrival Card boleh diakses melalui laman sesawang https://www.imm.gov.bn dan maklumat hendaklah diisi dengan lengkap dan betul sebelum tarikh ketibaan ke Negara Brunei Darussalam.

    Sementara itu, untuk memastikan kelancaran proses pendaftaran, disarankan bagi warga asing untuk membuat pendaftaran awal sebelum tiba ke negara ini.

    Dokumen-dokumen yang diperlukan bagi mendaftar adalah dokumen perjalanan atau pasport yang sah, alamat tempat kediaman semasa tinggal di Negara Brunei Darussalam dan maklumat penerbangan atau kenderaan yang digunakan.

    JIPK menekankan bahawa E-Arrival Card bukan visa atau pas, yang mana visa atau pas perlu dipohonkan secara berasingan tertakluk kepada keperluan semasa.

    Pengesahan pendaftaran kad tersebut bukanlah kebenaran mutlak bagi kemasukan ke negara ini dan ia masih lagi tertakluk kepada pemeriksaan lanjut semasa tiba di Brunei dan tidak ada caj bayaran dikenakan bagi pendaftaran E-Arrival Card.

    JIPK juga mengingatkan warga asing supaya tidak ada melantik mana-mana individu atau sebarang entiti komersial yang mengenakan caj bayaran bagi pendaftaran kad tersebut.

    Untuk keterangan, sila hubungi melalui e-mel info@immigration.gov.bn atau hotline WhatsApp di talian 7299550.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...