KUALA LUMPUR, 12 Jun – Bagi seorang kerani, Juliana Hamdan, sambutan Aidilfitri pasti tidak akan lengkap sekiranya tidak meneruskan tradisi menghantar kad raya kepada kenalan rapat dan saudara mara kerana budaya itu telah diamalkannya sejak zaman persekolahan lagi.
Namun bimbang budaya itu akan lapuk ditelan zaman, sejak dua tahun lepas wanita berusia 34 tahun itu mengambil inisiatif menghantar kad raya kepada individu yang tidak dikenali bagi menghidupkan kembali nostalgia mengirim dan menerima kad raya.
Memperuntukkan RM200 bagi tujuan itu, Juliana berkata apabila tiba sahaja bulan Ramadan, beliau akan meminta orang ramai termasuk kenalan di laman sosial yang ingin menerima kad raya supaya menghantarkan alamat mereka secara mesej peribadi ke akaun Instagram ‘jhmdn’ miliknya sebelum mula mengarang ucapan kepada mereka.
“Semasa zaman remaja dulu, saya selalu teruja dan penuh pengharapan setiap kali posmen tiba di kawasan perumahan saya untuk menghantar kad raya kerana benda kecil macam ini yang menimbulkan perasaan teruja untuk menyambut hari raya.
“Sekarang suasana raya pun kurang dirasai tidak macam zaman dahulu, jadi saya ambil pendekatan hantar kad raya kepada orang ramai secara rawak termasuk mereka yang tidak saya kenali sebab saya tidak mahu budaya ini hilang begitu sahaja,” katanya kepada Bernama.
Menariknya usaha yang dilakukan itu turut mendapat sambutan daripada mereka yang belajar dan menetap di luar negara seperti Australia serta Sweden dan kebiasaannya permintaan itu pasti dipenuhinya bagi menaikkan semangat mereka yang jauh di perantauan untuk menikmati kemeriahan Aidilfitri. – Bernama