Kadar bunuh diri meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Kadar bunuh diri di Negara Brunei Darussalam dilihat meningkat daripada 1.9 bagi setiap 100,000 penduduk pada 2015 kepada 2.6 bagi setiap 100,000 penduduk pada 2018.

Walaupun statistik daripada Pasukan Polis Diraja Brunei ini masih menunjukkan kadar bunuh diri yang rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain di seluruh dunia, ini bukan bermaksud negara tidak perlu mengambil berat mengenainya.

“Bahkan kita perlu mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih efektif bagi menangani masalah ini sebelum ia menjadi isu yang berat dan sukar dikawal,” tekan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) dalam perutusannya sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2019.

Dalam perutusannya itu, Yang Berhormat Dato mengongsikan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada satu kematian akibat bunuh diri berlaku setiap 40 saat di seluruh dunia, atau 800,000 orang setiap tahun.

Bunuh diri adalah penyebab kematian yang kedua tertinggi bagi mereka yang berusia antara 15 hingga 29 tahun, yang mana belia muda adalah lebih berisiko disebabkan keganasan, penderaan seksual dan buli, termasuk buli-siber (cyber-bullying).

Beliau berkata, bunuh diri atau percubaan untuk membunuh diri adalah disebabkan oleh perkara-perkara kompleks dan tidak semestinya mudah difahami.

Di samping kemurungan dan masalah kesihatan mental yang lain, bunuh diri dan tingkah laku (behaviour) bunuh diri kedua-duanya juga dianggap adalah disebabkan gabungan faktor-faktor sosial, psikologikal, biologikal, ekonomi, alam sekitar, tingkah laku dan budaya. Walau bagaimanapun, tambah beliau, isu bunuh diri sebenarnya boleh dicegah, terutama jika mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental mendapatkan rawatan awal.

“Sebagai sebuah masyarakat yang prihatin, kita perlu mengubah persepsi mengenai isu-isu kesihatan mental serta golongan yang mempunyai masalah kesihatan mental agar kita dapat bekerjasama untuk mencegah dari berlakunya sebarang kejadian bunuh diri,” ujar beliau.

Di samping itu, aliran media utama dan penggunaan media sosial juga berperanan dalam pencegahan kejadian bunuh diri. Ini termasuklah dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan berguna serta dapat mendorong mereka yang berkenaan mendapatkan bantuan kesihatan mental.

Menurut beliau, aliran media utama di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan perkembangan positif dalam sama-sama membantu menangani isu mengenai kesihatan mental.

“Dalam kesempatan ini, saya ingin mengingatkan dan memohon kerjasama orang ramai, khususnya pengguna media sosial di negara ini untuk sama-sama memainkan peranan dalam mengingatkan antara satu sama lain serta menggalakkan tingkah laku yang bertanggungjawab, termasuklah untuk tidak menyiarkan atau menyebarkan perkara-perkara yang tidak sahih, palsu atau sensitif, dan untuk sentiasa menghormati privasi serta maruah orang lain,” seru beliau.

Mengulas mengenai Hari Kesihatan Mental Sedunia yang diraikan setiap 10 Oktober, beliau berkata bahawa pada tahun ini memberi perhatian kepada pencegahan kejadian bunuh diri dengan membawa tema ‘Promosi Kesihatan Mental dan Pencegahan Bunuh Diri’.

Sambutan berkenaan merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Persekutuan Dunia bagi Kesihatan Mental untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dan isu-isu yang berkaitan dengannya.