Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Kadar harga elektrik yang dikenakan di negara ini adalah disubsidi oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Oleh itu, meskipun penggunaan elektrik di rumah meningkat pada masa penularan COVID-19 di negara ini, disebabkan banyak masa dihabiskan di rumah berbanding pada masa kebiasaan, kadar harga elektrik tidak akan berubah.
Kerana penggunaan elektrik yang meningkat secara tidak langsung turut menambahkan perbelanjaan kerajaan disebabkan subsidi yang telah diberikan.
Orang ramai perlulah memahami keadaan yang dihadapi pada ketika ini, tambahan lagi pihak kerajaan telah banyak memberikan kemudahan kepada rakyat dan orang ramai terutamanya pada masa krisis ketika ini yang mana menelan banyak perbelanjaan.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato turut menyatakan meskipun penggunaan elektrik meningkat pada masa ini, namun kebanyakan mereka yang bertugas dari rumah masing-masing juga dapat menjimatkan perbelanjaan mereka dari segi kos perjalanan ke pejabat.
