Kadar inflasi Turki meningkat

ANKARA, 3 DIS – Kadar inflasi tahunan Turki meningkat hari ini melebihi 20 peratus – tertinggi dalam masa tiga tahun – meskipun ketua pembangkang utama menuduh pegawai menyembunyikan skala sebenar krisis mata wang negara.

Negara berpopulasi 84 juta itu kini sedang dibelenggu kemerosotan nilai mata wang lira dan harga pengguna tinggi ketika Presiden Recep Tayyip Erdogan melaksanakan strategi berisiko bagi menghidupkan semula popularitinya menjelang satu pilihan raya dijadualkan pada 2023.

Pemimpin Turki berkuasa itu – penentang sepanjang hayat kadar faedah tinggi – telah melantik penyokong setia di bank pusat yang mengongsikan visi tidak ortodoksnya bahawa kos peminjaman mengakibatkan inflasi berbanding memperlahankannya.

Bank itu telah mengurangkan tanda aras kadar faedahnya sebanyak empat peratus sejak September dalam usaha merangsang peminjaman dan memacu pertumbuhan eksport.

Kebanyakan bank pusat di seluruh dunia menimbang menaikkan kadar faedah bagi menghindari gelombang inflasi membimbangkan atas faktor-faktor berkaitan dengan pandemik koronavirus.

Natijah pertaruhan Erdogan menjadi lebih jelas hari ini apabila agensi statistik negara Turki mengeluarkan data bulanan menunjukkan kadar inflasi tahunan mencecah 21.31 peratus – lebih empat kali ganda daripada sasaran kerajaan.

Angka itu disusuli dengan penurunan perkadaran oleh Fitch, mengakibatkan mata wang lira jatuh ke tahap terendah dalam sejarah.

Mata wang Turki sudah susut lebih 45 peratus nilainya berbanding dolar sejak awal tahun ini. –AFP

Seorang wanita memilih buah tomato di kedai makanan di Istanbul, Turki. Mata wang Turki menjunam ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar mengakibatkan kadar inflasi turut memuncak. – AP