Kadar inokulasi dos kedua vaksin COVID-19 kini 76.1 peratus

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Kadar inokulasi dos kedua negara meningkat kepada 76.1 peratus apabila 327,073 orang telah pun melengkapkan vaksin COVID-19, manakala sejumlah 93 peratus iaitu seramai 399,834 telah melengkapkan vaksin dos pertama.

Kenaikan dicatatkan setelah 7,807 orang menerima suntikan vaksin COVID-19 kelmarin (20 November).

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan statistik Program Vaksinasi Kebangsaan itu pada sidang media harian COVID-19 yang berlangsung di di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Ini bermakna hanya 3.9 peratus sahaja lagi diperlukan oleh negara untuk mencapai 80 peratus kadar vaksinasi dua dos vaksin COVID-19 bagi beralih dari Fasa Peralihan ke Fasa Endemik yang akan diumumkan tarikhnya nanti,” tambahnya.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam kini telah mencatatkan sebanyak 726,907 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah pemberian tertinggi berbanding dengan daerah-daerah lain iaitu sebanyak 467,983, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 95,605.

Manakala Daerah Tutong mencatatkan sebanyak 84,376 vaksinasi, dan Daerah Temburong sebanyak 78,943, jelas Yang Berhormat Dato.