Kadar kelulusan peperiksaan meningkat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan, kelmarin telah mengeluarkan keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘AS’ dan ‘A’ Level Oktober/November 2020.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, daripada 1,608 calon yang menduduki peperiksaan Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E ‘A’ Level, mereka yang memperolehi sekurang-kurangnya tiga ‘A’ ialah 1,211 atau 75.31 peratus iaitu peningkatan sebanyak 4.74 peratus.

Manakala itu, peratus calon yang mendapat sekurang-kurangnya dua ‘A’ level ialah 89.05 peratus, meningkat sebanyak 3.35 peratus dan peratus calon memperolehi satu ‘A’ level ialah 95.71 peratus iaitu meningkat sebanyak 1.45 peratus berbanding daripada keputusan peperiksaan pada 2019.

Di peringkat sekolah pula, pencapaian calon yang memperolehi sekurang-kurangnya tiga ‘A’ ialah 81.45 peratus, meningkat sebanyak 6.31 peratus, peratus calon mendapat sekurang-kurangnya dua ‘A’ level ialah 94.27 peratus, meningkat sebanyak 3.60 peratus dan calon yang memperolehi satu ‘A’ level ialah 98.36 peratus iaitu meningkat sebanyak 1.12 peratus.

Pada keseluruhannya, seramai 251 orang calon atau 15.61 peratus calon mendapat gred ‘A’ ke atas dalam dua hingga empat mata pelajaran.

Seramai 31 orang calon sekolah memperolehi Gred A*/A dalam empat mata pelajaran, 105 orang calon mendapat Gred A*/A dalam tiga mata pelajaran dan 112 orang calon telah memperolehi Gred A*/A dalam dua mata pelajaran.

Pada keseluruhannya, sebanyak 17 mata pelajaran menunjukkan peningkatan antara 1.27 peratus hingga 13.22 peratus.

Mata-mata pelajaran tersebut ialah Syariah, Usuluddin, Bahasa Melayu, Pengajian Pemakanan, Se-jarah, Sains Komputer, Teknologi Maklumat Perniagaan, Sosiologi, Biologi, Kimia, Fizik, Rekaan dan Teknologi, Perakaunan, Ekonomi, Matematik dan Psikologi.

Sementara itu, empat mata pelajaran menunjukkan pencapaian yang sama seperti pencapaian 2019 iaitu pencapaian 100 peratus bagi mata pelajaran Hafaz Al-Quran, Matematik Tambahan, Pendidikan Fizikal dan Pengajian Media.

Bagi Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E ‘AS’ Level pula, seramai 795 orang calon menduduki peperiksaan tersebut dan calon-calon yang mendapat sekurang-kurangnya dua ‘AS’ level adalah seramai 543 orang iaitu 68.30 peratus dengan peningkatan sebanyak 5.20 peratus.

Manakala itu, seramai 784 atau 98.62 peratus telah mencapai sekurang-kurangnya satu ‘AS’ level, meningkat sebanyak 6.90 peratus jika dibandingkan dengan keputusan Oktober/November 2019. Pada keseluruhannya, 120 calon berjaya mencapai gred ‘A’ dalam sekurang-kurangnya dua mata pelajaran.

Sehubungan dengan itu, penuntut-penuntut yang mengambil peperiksaan tersebut diingatkan supaya mendapatkan slip keputusan di sekolah masing-masing pada waktu sekolah, manakala itu calon-calon persendirian bolehlah mengambil slip keputusan masing-masing di Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat.

Dalam pada itu, mana-mana calon yang berhasrat untuk memperbaiki pencapaian keputusan peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘AS’ dan ‘A’ level, pendaftaran bagi bulan Mei/Jun 2021 masih dibukakan dan tarikh tutup pendaftaran bagi calon persendirian ialah pada 16 Februari depan.

Calon-calon juga hendaklah mengambil perhatian tarikh tutup pendaftaran bagi yang mendaftar di sekolah hendaklah merujuk kepada guru yang berkenaan di sekolah masing-masing.