Kadar kemiskinan di Brazil meningkat

BRASILIA, 6 Dis – Jumlah orang yang hidup dalam kemiskinan di Brazil bertambah sebanyak dua juta pada tahun lalu ekoran kemelesetan paling teruk di negara, menurut biro statistik kerajaan.

Angka itu, daripada 52.8 juta penduduk miskin pada 2016 kepada 54.8 juta pada 2017, bermakna 26.5 peratus penduduk daripada negara itu di bawah garis kemiskinan, kata Institut Geografi dan Statistik (IBGE) dalam satu kenyataan.

Data itu bergantung pada definisi kemiskinan yang diberikan oleh Bank Dunia, iaitu apabila seseorang hidup yang kurang AS$5.50 sehari.

Jumlah penduduk Brazil yang hidup dalam kemiskinan amat teruk, dikira pada kurang AS$1.90 sehari, meningkat daripada 13.5 juta pada 2016 kepada 15.2 juta pada 2017, mewakili 7.7 peratus penduduk.

Brazil, negara yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai di Amerika Latin dengan 208 juta penghuni, mengalami kemelesetan paling teruk antara tahun 2014 dan 2016.

Pada tahun lalu, ia kembali mencatat pertumbuhan, tetapi sedikit sahaja.

Kenyataan IBGE berkata kadar pengangguran meningkat daripada 6.9 peratus kepada 12.5 peratus di antara tahun 2014 dan 2016. Angka terbaharu, bertarikh dari Oktober tahun ini, menunjukkan ia telah merosot kepada 11.7 peratus.

Menurut agensi, jurang gaji jantina, dengan lelaki secara purata memperoleh 29.7 peratus lebih daripada wanita. Namun ia dibayangi oleh perbezaan gaji berdasarkan perkauman pada tahun 2017, penduduk kulit putih Brazil memperoleh 72.5 peratus lebih daripada penduduk kulit hitam atau separa hitam Brazil. – AFP