Kadar kepatuhan meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna telah mencatat kadar kepatuhan Akta Kawalan Harga yang menggalakkan bagi Julai dan Ogos 2019 dengan masing-masing merekodkan tujuh dan dua kesalahan berbanding 22 dan 14 kesalahan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Walau bagaimanapun, para peniaga terus dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah bersesuaian bagi memastikan kepatuhan terhadap Akta Kawalan Harga, JPKE menasihatkan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan menyatakan, dalam tempoh dua bulan kebelakangan, JPKE telah mengeluarkan kompaun berjumlah $500 kepada tiga buah syarikat perniagaan dan satu kompaun berjumlah $700 kepada sebuah syarikat perniagaan bagi kesalahan berulang iaitu menjual minyak masak melebihi harga maksimum.

Kompaun-kompaun tersebut dikeluarkan kepada syarikat-syarikat perniagaan di Daerah Brunei dan Muara. Pada masa yang sama, JPKE juga telah mengeluarkan lima notis amaran bagi kesalahan-kesalahan paparan tanda harga dan melebihi penetapan harga maksimum.

Kesalahan-kesalahan berikut didapati semasa pihak JPKE melaksanakan lawatan peme-riksaan harian di keempat-empat daerah dengan matlamat bagi memastikan para peniaga mematuhi Akta Kawalan Harga.

Kenyataan menjelaskan, semasa lawatan pemeriksaan harian itu, para pemeriksa harga juga menasihatkan para penia-ga serta memberikan pemberigaan kepada para pengguna mengenai akta tersebut dan peraturan-peraturan di bawahnya, termasuk peraturan paparan tanda harga dan peraturan acara harga jualan murah.

Para peniaga diingatkan mengenai manfaat dan kebaikan amalan kepatuhan diri (self-compliance) terhadap Akta Kawalan Harga dan peraturan-peraturan di bawahnya termasuk menyumbang kepada membina reputasi perniagaan dan berupaya meningkatkan kesetiaan pelanggan.

Ini seterusnya boleh membantu membina ekonomi domestik yang berdaya tahan dan persekitaran perniagaan yang baik di Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, para peniaga juga dinasihatkan untuk mempamerkan tanda harga dengan jelas pada barangan yang dijual dalam premis perniagaan bagi membolehkan pengguna untuk mempraktikkan hak dalam membuat keputusan pembelian dengan melaksanakan perbandingan harga barangan terlebih dahulu. Ketelusan harga (price transparency) berfungsi dalam mempromosi kebajikan pengguna.

Bagi maklumat lanjut mengenai kawalan harga, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna melalui talian 2230223 (waktu pejabat), hotline pengguna menerusi Talian Darussalam 123, aplikasi mudah alih PenggunaBijak, e-mel aduanpengguna@jpke.gov.bn, laman sesawang www.jpke.gov.bn/cad, Facebook AduanPenggunaJPKE atau pergi terus ke pejabat JPKE di Bilik 3.06, Tingkat 3, West Wing, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping.