Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Kadar kes HIV di Brunei meningkat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Sejak epidemik AIDS mula mendapat perhatian global pada 1981, jangkitan HIV masih kekal mengancam kesihatan awam dan menjejaskan kehidupan berjuta-juta orang di seluruh dunia.

    Di Negara Brunei Darussalam, kes pertama yang dilaporkan pada tahun 1986 dan setakat Disember 2021, sebanyak 374 kes yang telah dilaporkan, 74 daripadanya telah meninggal dunia.

    Walaupun Brunei merupakan salah sebuah negara yang mempunyai kadar jangkitan HIV yang rendah, dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, kadar kes meningkat melebihi kadar pada tahun-tahun sebelumnya.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar fail) menjelaskan, ia adalah disebabkan peningkatan kesedaran orang ramai mengenai jangkitan HIV dan pengesanannya di mana lebih ramai mereka yang mempunyai risiko tinggi bagi jangkitan itu tampil untuk menjalani ujian dan mendapatkan maklumat mengenai kaedah-kaedah pencegahan jangkitan HIV.

    Di Negara Brunei Darussalam, orang-orang yang berisiko tinggi bagi jangkitan HIV adalah mereka yang mengamalkan hubungan seksual rambang dan tidak terlindung, terutamanya hubungan kelamin sesama lelaki (MSM), jelas beliau lagi dalam perutusan sempena Hari AIDS Sedunia, hari ini.

    Aktivis sosial bersedia melepaskan belon untuk mewujudkan kesedaran mengenai HIV menjelang ‘Hari AIDS Sedunia’ di Kolkata, India pada 30 November. – AFP

    Beliau seterusnya mengongsikan, statistik WHO menganggarkan kira-kira 38.4 juta orang yang hidup dengan HIV di seluruh dunia pada akhir 2021 dengan sejumlah 1.5 juta merupakan kes jangkitan baharu.

    Sementara itu, sebanyak 650,000 orang pula dianggarkan telah meninggal dunia disebabkan jangkitan-jangkitan dan masalah kesihatan akibat jangkitan HIV di seluruh dunia.

    Mengulas mengenai tema Hari AIDS Sedunia pada tahun ini iaitu Equalize, Yang Berhormat Dato berkata, ia merupakan seruan untuk semua untuk berusaha membuat tindakan-tindakan yang praktikal bagi menangani ketidaksamaan yang menjadi penghalang dalam usaha-usaha untuk menamatkan epidemik AIDS.

    “Untuk mencapai sasaran tema tahun ini, ada beberapa tindakan yang boleh kita laksanakan bersama-sama sebagai komuniti yang bersatu menentang epidemik ini,” jelasnya.

    Ini antaranya termasuk meningkatkan pemberian perkhidmatan, kualiti dan kesesuaian rawatan, ujian dan pencegahan HIV untuk semua selain melaksanakan pembaharuan dasar dan amalan bagi menangani stigma dan diskriminasi yang dihadapi oleh orang yang hidup dengan HIV.

    Selain mengongsikan teknologi HIV yang baharu untuk meningkatkan akses sama rata kepada semua dan menggalakkan komuniti penghidap dan pesakit untuk menyuarakan ketidaksamaan yang mereka hadapi dan mengambil tindakan untuk menanganinya.

    Katanya lagi, “Walaupun tidak ada ubat untuk menghapuskan jangkitan HIV pada masa ini, namun dengan adanya kemudahan-kemudahan seperti bantuan-bantuan pencegahan, ujian, pengesanan, rawatan dan penjagaan HIV yang berkesan, penghidap-penghidap HIV boleh menjalani kehidupan yang sihat seperti orang lain”.

    Beliau seterusnya berkata, pandemik COVID-19 yang berterusan dan krisis-krisis global yang lain telah mengganggu perlaksanaan program pencegahan dan pengawalan HIV seperti penyaluran sumber dan dana program HIV kepada program-program lain.

    Walaupun dicabar dengan pandemik, perkhidmatan kesihatan bagi pesakit-pesakit HIV di negara ini, termasuk ujian, rawatan dan perkhidmatan kaunseling dapat terus diberikan untuk memastikan mereka mempunyai akses yang berterusan dan tidak menjejaskan penjagaan kesihatan mereka.

    Menurut beliau, Kementerian Kesihatan sangat komited dan akan terus berusaha memastikan mereka yang berisiko tinggi dan yang terjejas oleh HIV akan mendapat perkhidmatan yang berkualiti dan saksama, tanpa stigma dan ketidaksamaan.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pengawal dari Pakistan tuntut kewarganegaraan

    SYDNEY, 18 APRIL - Perdana menteri Australia hari ini berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberikan kewarganegaraan kepada seorang pengawal keselamatan Pakistan yang cedera dalam...