Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Kadar NCD, kesihatan mental semakin meningkat

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Negara Brunei Darussalam berdepan beban peningkatan kadar penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) kronik.

    Meskipun usaha-usaha pengawalan NCD dipertingkatkan dari tahun ke tahun, namun bilangan penghidap penyakit-penyakit kronik semakin meningkat.

    Sebagai contoh, jumlah pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan kaedah Terapi Gantian Buah Pinggang telah meningkat daripada 698 kes pada 2015 kepada 913 kes pada 2021 manakala dalam tempoh sama, jumlah kes baharu kanser tidak menunjukkan sebarang pengurangan yang signifikan.

    Selain itu, negara juga diramal akan berdepan dengan peningkatan jumlah warga emas yang ketara.

    Pada 2011, 5.7 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Kadar ini meningkat kepada 10.1 peratus pada 2021 dan dijangka akan meningkat lagi 28 peratus pada 2050.

    Justeru itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata, Kementerian Kesihatan berusaha mempertingkatkan kesedaran mengenai kesihatan dalam masyarakat, termasuk mempromosi penuaan sihat.

    Namun usaha berkenaan juga bergantung kepada kesedaran dan kemahuan orang ramai untuk berusaha mengubah cara hidup seperti dengan mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, melakukan kegiatan fizikal secara tetap dan membuang tabiat yang merosakkan kesihatan seperti merokok, meminum alkohol dan mengambil bahan-bahan terlarang seperti narkotik dan produk-produk yang diragui keselamatan dan keberkesanannya, yang boleh membahayakan tubuh badan.

    Yang Berhormat Dato menekankan perkara itu semasa menyampaikan mukadimah pada Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini.

    Menyentuh mengenai isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat, Yang Berhormat Dato berkata, ia juga perlu ditangani dengan lebih mendalam.

    Menurut beliau, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kes-kes berkaitan kesihatan mental atau yang menjurus kepada masalah kesihatan mental didapati semakin meningkat sehingga menyebabkan kehilangan nyawa, pengurangan produktiviti dan menjejaskan kehidupan masyarakat.

    Menyedari betapa pentingnya isu kesihatan mental di negara ini dan sesuai dengan kepimpinan Negara Brunei Darussalam dalam Sidang Kemuncak ASEAN 2021 dalam isu kesihatan mental, beliau berkata, Kementerian Kesihatan telah melancarkan Pelan Tindakan Kesihatan Mental 2022-2025 pada November tahun lalu yang mengambil pendekatan Whole of Government di samping memupuk penglibatan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam sama-sama menangani isu ini dalam kalangan masyarakat.

    Kejayaan dalam melaksanakan pelan tindakan tersebut adalah bergantung kepada setiap pihak yang berkepentingan bagi sama-sama memikul tanggungjawab dan menggunakan sumber-sumber yang ada dalam memainkan peranan masing-masing.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...