Kadar pekerjaan S’pura turun suku pertama 2020

SINGAPURA, 15 JUN – Jumlah pekerjaan Singapura tidak termasuk pekerja domestik asing, turun kepada 25,600 pada suku pertama tahun 2020, penguncupan paras terendah dicatatkan kerana penurunan ketara dalam tenaga kerja asing.

Sementara itu, pekerjaan tempatan berkurangan sedikit kerana penurunan lebih daripada dijangkakan dalam sektor perdagangan dan pelancongan melebihi kenaikan dalam Perkhidmatan Kewangan dan Insurans, Pentadbiran Awam dan Pendidikan serta Perkhidmatan Profesional.

Penemuan ini dinyatakan dalam Laporan Pasaran Buruh Tenaga, Suku Pertama 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penyelidikan Tenaga Manusia dan Statistik, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura.

Bagaimanapun, laporan itu berkata keadaan pasaran buruh akan lebih teruk pada suku yang akan datang, berikutan kejatuhan mendadak dalam pengambilan pekerja di peringkat global dan juga di Singapura kerana pelaksanaan langkah pemutus litar. “Ini dapat dilihat dalam penurunan pada nisbah kekosongan pekerjaan kepada individu yang menganggur,” kata laporan tersebut.

Ditambah dengan individu menganggur yang meningkat, nisbah kekosongan jawatan dengan mereka yang menganggur secara bermusim turun ke paras terendah dalam tempoh sedekad kepada 0.71 pada bulan Mac 2020, tetapi tidak melebihi jumlah dicatatkan ketika berlaku wabak Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) dan krisis kewangan global dahulu, katanya. – Bernama