Kadar pematuhan meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Semasa tempoh penetapan harga maksima bermusim tahun ini, para peniaga telah berjaya meningkatkan kadar pematuhan yang ditetapkan bagi lapan jenis barangan makanan harian terpilih dan hanya tujuh premis perniagaan didapati menjual melebihi harga maksima berbanding 34 premis pada tahun lepas.

Kesalahan berkenaan didapati semasa pemeriksaan rutin harian yang dijalankan di semua daerah oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Menurut JPKE dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, barangan yang didapati dijual melebihi harga maksima adalah mentega, santan, susu pekat dan tepung. Berikutan dengan itu, surat amaran telah dikeluarkan kepada tiga buah premis di Daerah Brunei dan Muara, tiga buah premis di Daerah Tutong dan sebuah premis di Daerah Belait.

Harga maksima bermusim telah ditetapkan oleh JPKE selama lima minggu bermula 1 Ramadan hingga 7 Syawal 1440 Hijrah ke atas ayam bulat; telur ayam; mentega; marjerin; minyak sapi; susu pekat, cair dan krim; tepung; dan santan pekat, krim dan serbuk.

Inisiatif tahunan ini bertujuan untuk mengekalkan harga berpatutan bagi barangan makanan terpilih yang sering digunakan bagi penyediaan makanan semasa musim perayaan.

JPKE dalam kenyataannya itu juga menekankan walaupun musim perayaan serta penetapan harga maksima bermusim telah berakhir, para peniaga digalakkan untuk terus menawarkan harga yang kompetitif bagi menarik pelanggan.

Manakala para pengguna pula diingatkan untuk berbelanja secara bijak dengan membuat perbandingan harga dan produk atau jenama yang sebanding di pasaran bagi mendapatkan nilai terbaik semasa membuat pembelian. Orang ramai juga digalakkan untuk mengamalkan hak mereka sebagai pengguna dengan melaporkan sebarang isu dan memberikan maklum balas kepada JPKE melalui saluran Hotline Pengguna di Talian Darussalam 123, aplikasi mudah alih SmartConsumer, emel aduanpengguna@jpke.gov.bn, Facebook Aduan Pengguna JPKE atau talian 2230223 pada waktu bekerja.