WASHINGTON, 5 Nov – Ekonomi AS menjana lebih banyak pekerjaan dan melaporkan kadar pengangguran yang rendah pada Oktober selepas kesan akibat ribut semakin berkurang. Jumlah pekerjaan senarai gaji bukan perladangan meningkat sebanyak 261,000 pada Oktober, selepas pertambahan sebanyak 18,000 pada September, kata Jabatan Buruh pada Jumaat.
Pekerjaan dalam perkhidmatan makanan dan minuman meningkat mendadak, kebanyakannya menghapus kemerosotan pada September akibat kesan dari taufan Irma dan Harvey, menurut jabatan.
Jabatan Buruh menambah pertumbuhan pekerjaan pada Ogos dan September. Pertumbuhan September ditambah kepada 18,000 daripada kemerosotan 33,000, dan pertambahan pekerjaan untuk bulan Ogos dinaikkan kepada 208,000 berbanding 169,000 seperti yang dilaporkan sebelumnya.
Tatkala lebih ramai orang mendapat pekerjaan, kadar pengangguran berkurangan kepada 4.1 peratus pada Oktober berbanding 4.2 peratus pada September.

Pertumbuhan pekerjaan yang kukuh dijangka menyokong Simpanan Persekutuan untuk menambah kadar faedah. Pelabur pasaran kini menjangka bank pusat akan menaikkan kadar faedah pada Disember.
Bagaimanapun, laporan pekerjaan pada Jumaat juga menandakan kelemahan pasaran pekerjaan AS. Kadar penyertaan tenaga pekerja, yang menunjukkan bahagian orang yang bekerja dalam tenaga kerja, merosot 0.4 peratusan mata kepada 62.7 peratus pada Oktober.
Pertumbuhan gaji pada bulan itu juga meleset kepada 2.4 peratus, pertambahan paling kecil sejak Februari 2016, setelah meningkat 2.8 peratus pada September. Pertumbuhan gaji yang tidak memberangsangkan menandakan tekanan inflasi masih terpendam.
Presiden AS Donald Trump pada Khamis mengumumkan gabernor Persekutuan Jerome Powell akan mengganti Janet Yellen untuk mengetuai bank pusat negara apabila penggal Yellen luput tempohnya pada Februari. – Xinhua