Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kadar penggunaan katil 20.4%

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Negara Brunei Darussalam mencatatkan empat kes dalam kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan rawatan rapi, manakala satu kes baharu dikategorikan dalam kategori 5 yang memerlukan bantuan mesin pernafasan serta dirawat di unit rawatan intensif pada masa ini.

    Dua daripada empat kes kategori 4 merupakan kes baharu, dengan seorang daripadanya sudah mendapat suntikan tiga dos vaksin COVID-19, manakala seorang lagi, dua dos vaksin.

    “Kes kategori 5 merupakan seorang lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai beberapa masalah kesihatan dan telah menerima dua dos vaksin COVID-19,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    Menurutnya, sebanyak 1,477 kes baharu telah dikesan dalam masa 24 jam lalu, di mana kesemuanya adalah kes tempatan, menjadikan kes keseluruhan di negara ini kepada 23,992 orang.

    “Jumlah baharu ini adalah hasil daripada 5,167 ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu,” kata Yang Berhormat Dato.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menghadiri sesi sidang media berkenaan, kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

    Sementara itu, 178 kes telah disahkan sembuh, membawa jumlah kes sembuh keseluruhan kepada 17,414, manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 6,476 kes.

    Menyentuh mengenai Program Vaksinasi Kebangsaan, Yang Berhormat Dato menjelaskan, setakat kelmarin, sejumlah 46.3 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini menerima dos penggalak, manakala kadar satu dan dua dos masing-masing melebihi 94 peratus.

    Beliau turut mengongsikan bahawa kajian sains mendapati dua dos vaksin COVID-19 mampu memberikan perlindungan daripada kesan teruk jangkitan COVID-19 namun tiga dos vaksin akan memberikan perlindungan tambahan sehingga lebih 90 peratus terhadap kesan teruk yang sama.

    Sementara itu, kadar pengisian katil di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate pada masa ini ialah sebanyak 20.4 peratus di mana 483 kes aktif sedang ditempatkan di pusat-pusat pengasingan berkenaan.

    Manakala 5,993 kes kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

    “Dalam pada itu, terdapat 99 kluster aktif yang sedang di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan pada ketika ini, yang mana tidak ada kluster baharu yang melibatkan tempat perniagaan atau tempat awam dikesan pada hari ini,” tambahnya.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru orang ramai untuk terus bersatu bagi menjalankan tanggungjawab masing-masing dan mengamalkan langkah-langkah pengawalan serta nasihat-nasihat yang telah disarankan di dalam segala garis panduan dari pihak kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.

    “Semoga Allah SWT sentiasa melindungi Negara Brunei Darussalam dan rakyat serta penduduknya dari segala musibah dan bencana khususnya wabak COVID-19,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...