Kadar penuaan di Brunei semakin meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) tahun ini membawa tema Kesaksamaan Digital untuk Semua Peringkat Umur, yang mana ia amat relevan dengan realiti baharu yang lebih berasas kepada teknologi digital berikutan situasi pandemik COVID-19 di negara ini.

“Kita amat berbangga, golongan warga emas Negara Brunei Darussalam bukan sahaja berupaya untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi seperti penggunaan aplikasi BruHealth dan QueUp untuk menguruskan keperluan harian, mereka juga telah mengambil inisiatif sendiri untuk memaksimumkan penggunaan teknologi digital untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang amat bermanfaat.”

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam perutusannya sempena Sambutan HAWE yang diraikan pada 1 Oktober.

Beliau seterusnya berkata, kadar penuaan di Negara Brunei Darussalam semakin meningkat, di mana golongan berumur 60 tahun ke atas dianggarkan berjumlah 28.7 peratus daripada jumlah penduduk pada 2050.

Oleh yang demikian, selaras dengan objektif Pelan Tindakan Warga Emas, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan sokongan padu sektor swasta dan bukan kerajaan, telah dan terus menitikberatkan jaminan kebajikan dan kesejahteraan golongan warga emas di seluruh negara.

Ini juga akan mengembangkan golongan penuaan yang aktif dan mandiri, dengan institusi keluarga mengambil peranan utama dalam penyediaan penjagaan yang terbaik, tambahnya.

Dalam perutusan itu, beliau turut menyentuh mengenai Akta Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya, (Pindaan) 2021 dan Perintah Orang Kurang Upaya, 2021 yang berkuat kuasa bermula esok (1 Oktober 2021).

Selain daripada mengemas kini syarat kelayakan menerima pencen umur tua, beliau menjelaskan bahawa pindaan Akta Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya turut memberikan tambahan faedah kepada golongan warga emas berkelainan upaya yang layak untuk menerima pencen umur tua di samping elaun kurang upaya.

Pada masa yang sama, dalam menghadapi situasi terkini pandemik COVID-19, kesihatan golongan warga emas juga diberikan keutamaan khusus.

“Kita amat berbesar hati dan merakamkan setinggi penghargaan kepada lebih 39,000 orang warga emas ataupun 87 peratus daripada keseluruhan penduduk warga emas di Negara Brunei Darussalam yang telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin COVID-19.

“Kita berbangga bahawa golongan warga emas telah memberikan sokongan kepada usaha kerajaan untuk membendung wabak COVID-19 di negara ini dan kita amat mengalu-alukan bagi warga emas lain untuk mengambil vaksin tersebut,” tambah beliau.

Di samping itu, dengan usaha padu agensi-agensi kerajaan, para pemimpin akar umbi dan para sukarelawan secara Whole of Nation, usaha untuk membendung kesan wabak COVID-19 juga terus diketengahkan dengan pembaikan proses pengagihan Pencen Umur Tua melalui pandu lalu dan pembayaran melalui akaun bank masing-masing yang mana, telah memberikan impak yang sangat tinggi kepada golongan warga emas. Sehingga hari ini, seramai 11,773 orang atau 29 peratus daripada penerima Pencen Umur Tua memilih kaedah bank jika dibandingkan dengan 9,775 orang penerima pada Disember 2020.

“Oleh yang demikian, atas segala usaha yang dilaksanakan pada tahun 2021, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan amat menghargai dan sangat mengalu-alukan komitmen dan usaha sedemikian daripada rakan-rakan strategik kita khususnya untuk menjaga kesejahteraan golongan warga emas, di samping meningkatkan kesedaran terhadap cabaran-cabaran terhadap kesihatan dan kesejahteraan golongan warga emas,” ujarnya.