Kadar penyertaan tenaga kerja meningkat pada 2020

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Pada 2020, kadar penyertaan tenaga kerja (LEPR) telah meningkat kepada 65.2 peratus daripada 64.3 peratus pada 2019 dan jumlah penduduk bekerja pada 2020 adalah seramai 216,900 orang berbanding 221,000 orang pada 2019 serta pekerja tempatan merupakan bahagian terbesar sebanyak 72.0 peratus iaitu 156,200 orang manakala sebanyak 28.0 peratus iaitu 60,700 orang adalah pekerja asing.

Perangkaan berkenaan merupakan antara inti sari yang dimuatkan dalam Laporan Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES, di sini, laporan berkenaan berasaskan data muktamad daripada hasil kajian berkenaan di mana kajian dikendalikan mulai 19 Oktober hingga 15 November 2020.

KTK 2020 berobjektif untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai saiz, struktur, taburan dan ciri-ciri tenaga kerja, pekerjaan, pengangguran dan lain-lain ciri-ciri ekonomi penduduk yang akan digunakan dalam membantu perancangan, penyelidikan, penyediaan dasar dan pengurusan tenaga kerja.

Kajian itu telah meliputi kira-kira 3,200 buah keluarga terpilih di seluruh negara menggunakan kaedah pensampelan yang sistematik. Data yang diperoleh daripada keluarga berkenaan telah disesuaikan melalui proses extrapolation and calibration bagi menghasilkan anggaran seluruh penduduk yang tinggal dalam isi rumah biasa di Negara Brunei Darussalam.

Hasil KTK 2020 menunjukkan terdapat kira-kira 86,500 buah keluarga atau isi rumah dan seramai 359,200 orang berumur 15 tahun ke atas.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa antara inti sari yang dimuatkan dalam laporan berkenaan ialah jumlah penduduk bekerja telah menurun disebabkan bilangan pekerja asing yang berkurangan seramai 13,600 daripada 74,300 orang pada 2019 kepada 60,700 orang pada 2020.

Walau bagaimanapun, jumlah penduduk tempatan yang bekerja telah mencatatkan peningkatan seramai 8,800 orang iaitu 147,400 orang pada 2019 kepada 156,200 orang pada 2020.

Ini adalah selaras dengan data pentadbiran daripada pihak Sekretariat Majlis Perancangan Tenaga Kerja dan Pekerjaan (MPEC) yang menunjukkan lebih 12,000 orang penduduk tempatan telah mendapat pekerjaan pada 2020.

Manakala itu, data caruman pekerja tempatan di Tabung Amanah Pekerja (TAP) mencatatkan lebih daripada 7,000 orang pencarum yang baharu berdaftar.

Kenyataan juga menyatakan bahawa ciri-ciri utama dan taburan dalam kalangan penduduk bekerja pada 2020 adalah sebanyak 90.4 peratus iaitu 196,100 orang merupakan pekerja manakala mereka yang bekerja sendiri adalah sebanyak 6.2 peratus iaitu 13,500 orang.

Seramai 70,900 orang iaitu 32.7 peratus bekerja di sektor kerajaan yang termasuk aktiviti pentadbiran awam dan perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan seperti pendidikan, kesihatan, elektrik dan air, sementara itu, seramai 146,000 orang iaitu 67.3 peratus bekerja di sektor swasta.

Kenyataan berkenaan menyatakan bahawa mengikut jenis pekerjaan, pekerja perkhidmatan dan jualan menyumbang bahagian terbesar dengan 22.8 peratus iaitu 49,500 orang, purata jalan biasa bekerja dalam pekerjaan utama menurun kepada 44.4 jam dalam seminggu berbanding 46.8 jam pada 2019.

Sementara itu, jumlah penduduk yang menganggur pada 2020 adalah kira-kira seramai 17,400 orang iaitu meningkat daripada 2019 di mana jumlah penduduk menganggur ialah seramai 16,200 orang.

Kenyataan menjelaskan bahawa kadar pengangguran meningkat kepada 7.4 peratus daripada 6.8 peratus pada 2019 dengan kenaikan berkenaan disebabkan beberapa faktor seperti sebilangan penduduk yang bekerja pada 2019 telah kehilangan pekerjaan pada 2020 dan sebilangan lagi yang sebelum ini di luar tenaga kerja sekarang aktif di pasaran tenaga kerja tetapi masih mencari pekerjaan.

Kenyataan menerangkan bahawa beberapa soalan tambahan berkaitan dengan COVID-19 juga telah dimasukkan ke dalam borang tanya KTK 2020 seperti mana saranan pihak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Beberapa dapatan daripada kajian berkenaan adalah kira-kira 28.6 peratus iaitu 62,000 orang daripada kalangan penduduk bekerja telah mengalami perubahan dalam keadaan kerja mereka seperti perubahan dalam jumlah jam bekerja iaitu kurang dari biasa, bertukar tempat atau lokasi bekerja atau bekerja dari rumah.

Jumlah pekerja asing juga menunjukkan penurunan sebanyak 18.3 peratus iaitu sebanyak 74,300 orang pada 2019 kepada 60,700 orang pada 2020 terutama dalam sektor aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan, perdagangan borong dan runcit serta pembuatan.

Ini adalah berikutan sekatan kemasukan warga asing ke Negara Brunei Darussalam semasa pandemik COVID-19 di mana pekerja asing baharu yang dibenarkan untuk masuk ke negara ini adalah dalam bilangan yang terhad bagi sektor atau pekerjaan tertentu sahaja.

Selain itu, sebilangan pekerja asing juga telah keluar meninggalkan Negara Brunei Darussalam disebabkan tamat kontrak dan sebagainya.

Penurunan jumlah pekerja asing berkenaan diimbangi oleh peningkatan pekerja tempatan khususnya di sektor swasta. Antara aktiviti ekonomi yang mencatatkan kenaikan pekerja tempatan antara 2019 dan 2020 adalah aktiviti perdagangan borong dan runcit sebanyak 1.8 peratus iaitu 4,200 orang serta pembuatan 1.0 peratus iaitu 1,800 orang.

JPES ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua keluarga yang terpilih di ats kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh kajian.

Laporan KTK 2020 boleh didapati melalui laman web JPES dan orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai perkara itu, boleh merujuk kepada JPES dengan menghubungi talian 2230250 atau 2230265 (waktu pejabat), e-mel [email protected] atau melayari laman sesawang www.deps.gov.bn.