Kadar tenaga kerja, pengangguran menurun

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2019 yang dikendalikan mulai 14 Oktober hingga 10 November 2019 menunjukkan kadar penyertaan tenaga kerja tahun lalu telah menurun kepada 64.3 peratus berbanding 65.4 peratus pada 2018.

Melalui kajian itu juga, kadar penyertaan bagi lelaki adalah lebih tinggi sebanyak 72.5 peratus berbanding dengan perempuan 54.8 peratus.

Menurut kenyataan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang mengeluarkan laporan KTK itu mengatakan ia diperolehi berasaskan data muktamad daripada hasil kajian tersebut.

JPES dalam kenyataannya turut menjelaskan yang kajian itu meliputi kira-kira 3,200 buah keluarga terpilih di seluruh negara dengan menggunakan kaedah pensampelan yang sistematik dan metodologi yang digunakan oleh International Labour Organisation (ILO).

Data yang diperolehi daripada keluarga tersebut telah disesuaikan melalui proses extrapolation and calibration bagi menghasilkan anggaran seluruh penduduk yang tinggal dalam isi rumah biasa di Negara Brunei Darussalam.

Antara lain objektif utama adalah untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai saiz, struktur, taburan dan ciri-ciri tenaga kerja, pekerjaan dan pengangguran, selain ciri-ciri ekonomi penduduk yang akan digunakan dalam membantu perancangan, penyelidikan, penyediaan dasar dan pengurusan tenaga kerja. Hasil KTK 2019 juga menunjukkan terdapat kira-kira 94,600 buah keluarga atau isi rumah dan seramai 370,000 orang berumur 15 tahun ke atas.

Sementara jumlah penduduk yang bekerja adalah seramai 221,700 orang, terdiri daripada 135,800 orang lelaki (61.3 peratus) dan 85,900 orang perempuan (38.7 peratus) dan daripada jumlah penduduk yang bekerja itu, pekerja tempatan merupakan bahagian terbesar sebanyak 66.5 peratus (147,400 orang), manakala sebanyak 33.5 peratus (74,300 orang) adalah pekerja asing.

Manakala taburan penduduk bekerja mengikut taraf pekerjaan adalah pekerja sebanyak 91 peratus (201,800 orang), bekerja sendiri sebanyak 5.5 peratus (12,100 orang), majikan 2.7 peratus (6,000 orang) dan pekerja keluarga 0.8 peratus (1,800 orang).

Dalam laporan KTK turut menjelaskan, seramai 74,900 (33.8 peratus) bekerja di sektor kerajaan yang termasuk aktiviti pentadbiran awam dan perkhidmatan kerajaan seperti pendidikan, kesihatan, elektrik dan air. Manakala, seramai 146,800 (66.2 peratus) bekerja di sektor swasta. Jenis aktiviti ekonomi yang meliputi kedua-dua sektor menunjukkan bahawa pentadbiran awam menyumbang bahagian terbesar iaitu sebanyak 19 peratus (42,000 orang).

Ini diikuti oleh perdagangan borong dan runcit seramai 16 peratus (35,500 orang) dan aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan 9.6 peratus (21,300 orang).

Manakala taburan penduduk bekerja mengikut jenis pekerjaan pula adalah seperti pekerja perkhidmatan dan jualan menyumbang bahagian terbesar dengan 20.2 peratus (44,900 orang), pekerja profesional 17.5 peratus (38,800 orang) dan pekerjaan asas sebanyak 15.8 peratus (35,000 orang).

Sementara mengikut purata pendapatan sebulan daripada semua pekerjaan pada tahun 2019 adalah $1,626 bagi seorang berbanding $1,593 pada tahun 2018.

Pekerja tempatan memperolehi pendapatan lebih tinggi sebanyak $1,812 secara purata, berbanding $1,261 bagi pekerja asing. Kadar pengangguran pada tahun 2019 juga telah menurun kepada 6.8 peratus daripada 8.7 peratus pada tahun 2018 dan jumlah penduduk yang menganggur adalah kira-kira seramai 16,200 orang, berbanding 19,200 orang pada tahun 2018.

Jumlah penduduk tempatan dan penduduk tetap) yang menganggur berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 15,600 orang, di mana 38.4 peratus (6,000 orang) berumur 18 hingga 24 tahun dan lebih daripada separuh (61.6 peratus atau 9,600 orang) berumur antara 25 hingga 64 tahun.

Sehubungan itu, JPES ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua keluarga yang terpilih di atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh kajian.

Laporan KTK 2019 boleh didapati melalui laman web JPES di www.deps.gov.bn. dan sebarang pertanyaan hubungi talian 2230265 atau 2230250 atau e-mel ke [email protected]