Kadar vaksinasi lengkap KHEDN capai 94.89 peratus

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Sebanyak 99.47 peratus kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala, 94.89 peratus telah mendapatkan vaksinasi yang lengkap setakat 17 November.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 20.44 peratus kakita-ngan kementerian berkenaan telah menerima suntikan vaksin penggalak iaitu petugas-petugas barisan hadapan.

Sementara itu, hanya 26 orang atau 0.53 peratus kakitangan KHEDN masih belum menerima suntikan vaksin dan kementerian akan berusaha untuk merangka langkah bagi mereka mendapatkan suntikan vaksin dalam tempoh masa yang terdekat.

Perangkaan jumlah dan status vaksinasi kakitangan KHEDN itu telah dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika menjawab persoalan yang dikemukakan mengenainya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Fasa Peralihan yang akan bermula esok, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa dalam negara memasuki fasa berkenaan, ia memerlukan tanggungjawab dari semua rakyat dan penduduk negara untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat-nasihat kesihatan yang telah ditetapkan. “Janganlah terlalu ghairah untuk mengadakan misalnya barbeku dan sebagainya. Kalau kita melihat akan keadaan di negara-negara lain yang memasuki fasa endemik pun, keadaannya juga berubah.”

Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa kes jangkitan dilihat meningkat tetapi perkara yang penting untuk diingati adalah untuk memantau kes-kes dalam kategori 4 dan 5 kerana ia akan memberikan kesan kepada kapasiti di hospital-hospital. Beliau menekankan bahawa Fasa Peralihan itu akan memberikan gambaran mengenai keadaan orang ramai dalam menangani kehidupan semasa fasa berkenaan serta berharap kita tidak akan berundur ke belakang.

Beliau yakin bahawa jika semua rakyat dan penduduk negara bekerjasama serta mematuhi semua nasihat dan SOP yang telah ditetapkan, kita akan bergerak ke hadapan iaitu memasuki ke fasa-fasa yang lain.

Yang Berhormat Pehin juga menyatakan bahawa pihak kerajaan telah pun memberikan kelonggaran semasa Fasa Peralihan bagi premis-premis tertentu untuk memulakan penghidupan seperti biasa tetapi dalam keadaan yang masih lagi terkawal.