Kadar vaksinasi melebihi 100% termasuk warga asing tidak dapat pulang

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Sambutan program vaksinasi bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas adalah sangat menggalakkan sehingga mencapai kadar melebihi 100 peratus.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa mengulas mengenai kadar vaksinasi golongan warga emas yang melebihi 100 peratus semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan dan kadarnya melebihi 100 peratus itu tidak menghairankan kerana vaksin itu diberikan secara percuma kepada sesiapa sahaja sama ada penduduk atau mereka yang bermastautin di sini,” katanya.

Beliau seterusnya menambah, pemberian vaksinasi ini meliputi semua orang yang tinggal di negara ini termasuk orang luar dan mereka yang tidak dapat pulang ke negara asal akibat tegahan ke luar negara disebabkan penularan COVID-19 pada gelombang kedua ini.

“Maka, kadar melebihi 100 peratus itu juga termasuk pemberian vaksinasi kepada warga asing yang berada di negara ini,” jelasnya lagi.

Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan mengenai respons terhadap vaksinasi bergerak di Kampung Sungai Asam dan sekitarnya pada 19 November hingga 21 November, kelmarin telah mencatat sebanyak 483 orang telah mendapatkan vaksinasi mereka.