Kadar vaksinasi meningkat 66.6 peratus

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Seramai 9,017 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kelmarin (2 Oktober), menjadikan seramai 302,258 orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan iaitu 66.6 peratus daripada jumlah penduduk Negara Brunei Darussalam.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam kenyataannya pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Manakala, 199,576 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 44 peratus daripada jumlah penduduk negara,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Rajah statistik Program Vaksinasi Kebangsaan yang dikongsikan semasa sidang media itu menunjukkan peningkatan ketara terhadap peratus pemberian vaksin bagi dos pertama dan dos kedua sejak kebelakangan ini.

“Alhamdulillah, usaha kerajaan untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi melalui Program Vaksinasi Kebangsaan menunjukkan peningkatan hingga ketika ini, kadar vaksinasi negara adalah melebihi kadar dunia,” jelas Yang Berhormat Dato.

Walau bagaimanapun, menurutnya, negara masih perlu mempertingkatkan usaha untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 sebelum penghujung 2021.

Turut dikongsikan pada sidang media tersebut ialah rajah data dunia yang menerima vaksin COVID-19 setakat 1 Oktober 2021, di mana Negara Brunei Darussalam di tangga ketujuh berbanding negara-negara lain di seluruh dunia.

Negara Brunei Darussalam berada di tangga ke-7 di seluruh dunia dalam kadar suntikan vaksin COVID-19.