Oleh Amri HTZ
Menyebut mengenai kadbod, setentunya terlintas di fikiran ia hanya bermanfaat untuk membungkus barangan dan akan dibuang setelah selesai menggunakannya.
Namun sedarkah awda bahawa kadbod juga material yang cukup versatil yang boleh diolah dalam pelbagai cara asalkan tahu cara memanfaatkannya. Bahan berasaskan produk kertas heavy-duty, pelbagai ukuran dan tahan lama tanpa kelembapan, ciri-ciri ini membuatkannya salah satu pilihan bagi para pereka untuk membentuk sesebuah rekaan sama ada sebagai model mahupun perhiasan.
Barangan yang perlu disediakan
Dalam projek rekaan kali ini, penulis akan menerangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mereka perhiasan rumah di dalam batu yang terbuat daripada kertas kadbod dan tray telur (egg carton). Namun sebelum itu, persediaan perlu dilakukan agar langkah rekaan boleh berjalan dengan sempurna. Untuk itu sediakan barangan seperti kepingan dulang telur (egg carton), pisau utiliti atau gunting, pembaris, pensel, gam pelbagai guna, lampu LED, hot glue, cat akrilik, berus cat dan cutting pad.
Cukup mudah untuk diolah
Kadbod-kadbod yang digunakan dalam projek ini merupakan bekas bungkusan piza yang masih bersih dan elok permukaannya. Selain kadbod sedemikian, awda juga boleh menggunakan kadbod-kadbod yang telah digunakan untuk membungkus barangan lain selain makanan.
Setelah mendapatkan kadbod yang diperlukan, ia akan diletakkan di atas cutting pad bagi memulakan langkah pemotongan sama ada menggunakan pisau utiliti ataupun gunting. Kedua-dua cara ada kelebihan dan kekurangannya masing-masing.
Bagi penggunaan pisau utiliti, jika bilah pisau tidak tajam, ia akan menyukarkan langkah pemotongan selain menyebabkan permukaan potongan terkoyak. Namun penggunaannya dalam pemotongan kertas kadbod mampu memberikan permukaan potongan yang bersih dan rata.
Sementara bagi penggunaan gunting, masalah tumpul ketika memotong kadbod bukanlah perkara yang selalu terjadi jika dibandingkan dengan pisau utiliti. Namun, permukaan potongan yang terhasil daripadanya pada kebiasaannya renyuk dan ini akan memberikan permukaan yang kurang rata dan mampu menjejaskan bagi rekaan yang benar-benar memerlukan kesempurnaan.
Walaupun sedemikian, dalam projek ini tidak terlalu menekankan kesempurnaan tetapi kejayaan menyelesaikannya.
Kadbod yang telah disediakan akan dipotong dengan ukuran panjang 16 inci dan lebar 4 ½ inci. Potongan tersebut kemudiannya akan diukur lagi untuk membahagikan ruangan bagi dinding rumah yang mempunyai jendela dan pintu.
Setelah memotongkannya, ukur dan tandakan ukuran 1 inci, 3 inci, 6 inci, 5 inci dan 1 inci dari bahagian hujung yang akan dipisahkan dengan garisan lurus. Garisan-garisan mengikut ukuran dari bahagian hujung kadbod yang telah ditandakan tersebut kemudiannya akan dikelar menggunakan pisau utiliti dengan hanya menumpukan lapisan pertama kadbod (biasa terdiri daripada dua lapisan dengan lapisan tengah bertentangan dan dalam bentuk berombak).
Tujuan ia dilakukan sedemikian adalah bagi memastikan kadbod tersebut dapat dilipat dengan mudah.
Bahagian garisan yang hendak dikelar adalah permukaan yang akan dilipat ke bahagian dalam ketika melekatkan kadbod tersebut dalam keadaan berdiri untuk membentuk dinding rumah. Selain itu, ruangan jendela dan pintu akan dipotong yang kemudiannya akan digunakan pada langkah seterusnya.
Setelah memotongkan ruangan jendela dan pintu, melalui bahagian dalam akan dilekatkan dengan kadbod berukuran 1.5sm bagi memimik bentuk bingkai pintu dan jendela. Gunakan hot glue untuk melekatkannya yang hanya memerlukan beberapa saat untuk silikon menjadi sejuk dan mengeras.
Dinding rumah pula perlu dilekatkan pada sekeping kadbod berukuran besar yang dijadikan sebagai tapak rumah. Tapak tersebut pada langkah ini tidaklah perlu mempunyai ukuran yang sebenar di mana awda boleh merapikannya nanti.
Bagi bahagian atas dinding juga akan dilekatkan dengan kadbod bagi meniru bahagian siling rumah sebenar. Untuk itu awda perlu memotongkan kadbod yang mempunyai lebar 3 inci dengan panjang 10 inci serta 1 inci lebar dengan panjang 5 inci.
Potongan bahagian pintu dan jendela tadi akan dilekatkan pada bahagian rumah tersebut dengan memastikan permukaan depannya dipertingkatkan dalam memberikan kelebihan pada rekaan. Dalam projek ini, permukaan kadbod untuk pintu akan dikelar keseluruhannya. Selain pintu awda juga boleh melakukannya pada bahagian jendela.
Langkah seterusnya akan menumpukan kepada rekaan bagi tiang rumah. Dua batang tiang akan direka menggunakan kadbod dengan ukuran ¾ inci x 3/4inci. Setelah memotongkannya, lekatkan struktur tersebut pada bahgian depan pintu rumah dengan jarak yang seimbang.
Sebelum meneruskan projek mereka bahagian batu, lampu LED yang telah disediakan perlu dilekatkan lebih awal bagi memudahkan awda. Lampu-lampu tersebut perlulah diletakkan sesuai dengan keadaan rumah sebenar di mana tumpuan perlu diberikan pada bahagian siling, dalam mahupun jendela rumah.
Dalam menutupi bahagian atas dan bawah rekaan bagi memimik batu daripada dulang telur, awda perlu mereka tapak sokongan juga daripada kertas kadbod.
Dengan hanya membentuk kadbod segi empat sama dan dilekatkan pada bahagian atas dan bawah, ini membolehkan awda untuk melekatkan potongan-potongan kadbod yang akan dijadikan tulang utama dalam melekatkan dulang telur yang dicebis kecil.
Satu persatu cebisan akan dilekatkan sehingga menutupi keseluruhan bahagian atas dan bawah rumah dan ini akan diakhiri dengan mewarnakan permukaan sesuai seperti permukaan batu alami.
Pilihan warna tertakluk kepada kreativiti masing-masing di mana dalam projek ini warna utama iaitu cream akan digunakan diikuti dengan charcoal yang diselitkan dengan warna putih. Dengan adanya warna-warna sedemikian, ia sedikit sebanyak dapat meniru rupa luaran batu alami.