Kadhemi, Trump bincang agenda ketenteraan

WASHINGTON, 20 OGOS – Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi akan bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk pertama kalinya di Washington pada hari ini dengan isu kehadiran tentera Amerika di negara itu sebagai agenda utama.

Pertemuan itu diadakan ketika serangan terhadap warga Amerika oleh pejuang pro-Iran meningkat dengan Tehran dan Washington bersaing untuk mendapatkan pengaruh di Iraq.

Kadhemi, yang memegang jawatan pada Mei lalu, menghadapi cabaran dari puak Hashed al-Shaabi, satu gabungan kumpulan separa tentera Syiah Iraq yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran.

Perwakilan politik Hashed al-Shaabi meminta pengusiran 5,000 tentera AS yang dikerahkan di negara itu sebagai sebahagian daripada usaha antijihad.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, berkata kumpulan bersenjata yang berada di bawah kendalian penuh perdana menteri itu meng-halang kemajuan negara dan meminta digantikan dengan polis tempatan secepat mungkin.

Ditanya mengenai rancangan membawa pulang 5,000 tentera AS yang kini berada di Iraq, Pompeo berkata dia tidak mengetahui jumlah itu dan mendesak supaya tidak fokus pada hal berkenaan.

“Tidak ada garis waktu dan tidak ada angka tepat tetapi yang pasti ia menjadi sebahagian daripada perbincangan, ketika kita sedang menilai syarat keselamatan Iraq dan AS percaya ia boleh dilakukan.

“Kumpulan bersenjata ini adalah masalah berterusan yang mencabar keamanan Iraq, mengancam kepentingan pasukan AS di rantau ini dan tentunya itu merupakan cabaran terhadap kedaulatan Iraq.” – AFP