Kadhimi dilantik PM ketiga Iraq

BAGHDAD, 9 APRIL – Ketua risikan Iraq dilantik sebagai bakal perdana menteri ketiga negara dalam satu bulan hari ini selepas peletakan jawatan calon terbaharu di tengah pertengkaran politik.

Kemelut tersebut mengancam kekosongan kepimpinan kerajaan di tengah krisis ekonomi dan pandemik teruk.

Pencalonan Adnan Al-Zurfi terjejas dalam tempoh 48 jam lalu apabila parti Syiah menyokong ketua risikan Iraq, Mustafa al-Kadhimi, untuk menggantikan beliau. Peluangnya semakin lenyap apabila blok Kurdish dan Sunni menarik balik sokongan terhadap pencalonannya.

Presiden Iraq melantik Kadhimi, 53, sebagai bakal perdana menteri sejurus selepas peletakan jawatan Al-Zurfi.

“Dengan mandat saya untuk memimpin kerajaan Iraq, saya berjanji kepada rakyat akan menubuhkan sebuah kerajaan yang mengutamakan aspirasi dan permintaan penduduk Iraq,” kata Kadhimi di Twitter selepas pelantikannya diumumkan.

Kadhimi dilantik oleh bekas Perdana Menteri Haidar al-Abadi sebagai ketua Perkhidmatan Risikan Negara Iraq dan telah memegang jawatan itu sejak Jun 2016.

Menurut perlembagaan Iraq, beliau mempunyai 30 hari untuk mengemukakan barisan Kabinet kepada parlimen. – AP