Kaedah alternatif agih kurma kurnia

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Beberapa usaha dan mekanisme akan dibuat bagi mengagihkan kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada seluruh umat Islam di negara ini menjelang Ramadan dalam masa tiga minggu lagi.

Sebanyak 158.4 tan metrik kurma bersamaan dengan 528,000 kotak kecil yang mengandungi 300g kurma akan diagihkan yang dijangka tiba pada 17 April tahun ini, tertakluk jika tiada sebarang kelambatan berlaku.

“Dalam usaha memastikan pengagihan kurma diterima oleh setiap lapisan penduduk Islam di negara ini, beberapa usaha dan mekanisme dijalankan berbanding pada tahun sebelum ini yang mana pengagihan kurma melalui ketua kampung,” jelas Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak ketika taklimat mengenai pengagihan kurma berkenaan di Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rumah Semaun, Jalan Jerambak, kelmarin.

Beliau yang juga pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkoah (Yayasan), menambah bahawa usaha berkenaan adalah bagi membantu ketua-ketua kampung serta memudahkan dan melaratkan pengagihan kurma di beberapa lokasi di samping mengelakkan penerimaan duplikasi.

Bagi pengurusan pengagihan tahun ini, orang ramai diperlukan untuk mendaftar terlebih dulu sebelum menerima kurma tersebut dan ini bagi membantu pengurusan yang lebih efisien dan membolehkan bagi pengumpulan data maklumat untuk diusahakan bagi mempertingkatkan proses pengagihan kurma pada tahun hadapan. Pada tahun ini, perubahan dalam pengagihan kurma adalah pendaftaran secara dalam talian melalui laman web www.kurma.org.bn yang dapat diakses oleh orang ramai melalui telefon bimbit dan komputer bermula kelmarin.

Laman web boleh diakses oleh orang ramai bagi pendaftaran agihan kurma kurnia bermula kelmarin. – Gambar oleh Rahwani Zahari

Sehubungan itu, orang ramai disarankan untuk membuat pendaftaran secara dalam talian terlebih dulu sebelum kurma dibahagikan bagi membantu melancarkan proses pengagihan kurma dan mengelakkan duplikasi penerimaan kurma.

Borang pendaftaran juga akan disediakan sebagai alternatif dan akan disediakan di setiap lokasi pembahagian kurma, walau bagaimana pun, pendaftaran secara dalam talian adalah disarankan.

Selain itu, dalam usaha memudah cara dan melaratkan pengagihan kurma serta mengelakkan perkumpulan ramai bagi mematuhi arahan Kementerian Kesihatan untuk membuat penjarakkan sosial, beberapa lokasi pengagihan juga disediakan selain di rumah ketua-ketua kampung.

Ini seperti melalui setiap kementerian dan jabatan-jabatan serta cawangan di bawahnya di keempat-empat daerah bagi pegawai dan kakitangan kerajaan serta tanggungan.

Ini juga termasuk bagi bank-bank dan syarikat berkaitan kerajaan, di unit-unit Kementerian Pertahanan bagi anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan di formasi Polis Diraja Brunei bagi anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.

Selain itu, beberapa lokasi pandu lalu juga telah dikenal pasti di keempat-empat daerah.

Manakala itu, pembahagian kepada anak-anak buah kampung selain melalui ketua kampung, ia juga akan disalurkan melalui bantuan jawatankuasa majlis perundingan mukim dan kampung dan sukarelawan di setiap tadahan kampung bagi membantu ketua kampung.

Pemberigaan kepada orang ramai mengenai pengagihan kurma berkenaan juga akan dilaksanakan melalui saluran media dan media sosial rasmi Yayasan (www.yshhb.org.bn), Instagram (yshhb.official) dan Facebook (Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah).

Yayasan berharap, segala inisiatif bagi menambah baik proses pengagihan kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur demi menjalankan amanah untuk menyempurnakan tanggungjawab dan memastikan buah kurma sampai kepada setiap lapisan umat Islam di negara ini.

Pihak Yayasan juga mengharapkan sokongan dan kerjasama padu daripada semua pihak yang terlibat termasuk pihak media dalam melancarkan urusan pengendalian pengagihan buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada tahun ini seperti yang diharapkan.