Kaedah memasang jighead dengan betul

Oleh Raz AS

Penggunaan umpan softplastic semakin mendapat tempat di kalangan pemancing pada masa kini.

Ini kerana harganya yang jauh lebih murah dan penggunaannya yang versatil dibandingkan dengan hardlure.

Secara amnya terdapat dua jenis softplastic yang boleh didapatkan di pasaran, pre-rigged yang didatangkan sudah terpasang bersama jighead dan yang perlu dipasang sendiri oleh pemancing.

Bagi pemancing yang baharu ingin berjinak-jinak menggunakan softplastic, jenis pre-rigged merupakan pilihan yang baik kerana saiz mata kail dan beratnya memang sudah direka khas bersesuaian dengan saiz softplastic itu sendiri.

Namun jenis pre-rigged mengehadkan pemancing untuk memilih sendiri berat jighead berdasarkan keperluan padang pancing seperti kedalaman dan kekuatan arus.

Gandingkan jighead dengan badan softplastic bersebelahan untuk mengetahui di mana hujung mata kail akan keluar dari badannya.

Oleh yang demikian untuk memenuhi keperluan semasa keadaan di padang pancing yang sentiasa berubah-ubah, ramai pemancing lebih suka menggunakan softplastic yang dipasang sendiri dengan mata kail atau jighead dengan yang berbeza-beza.

Walau bagaimanapun, memasang jighead ke softplastic boleh menjadi sesuatu yang rumit bagi pemancing yang baru berjinak-jinak dengannya tanpa mempelajari kaedah yang betul. Pemasangan yang salah akan mencacatkan aksi renangan softplastic dan menyebabkan ikan susah terpedaya untuk menyambar umpan.

Saiz mata kail yang sesuai

Apa yang paling penting bagi pemancing yang ingin memasang softplastic sendiri adalah memadankan jighead yang mempunyai saiz mata kail yang bersesuaian dengan saiz softplastic yang ingin digunakan. Jighead yang berlainan jenama mungkin akan mempunyai sistem penomboran saiz mata kail yang berbeza mengikut pengilang, pemancing perlu mengetahui saiz mata kail yang bersesuaian dengan saiz softplastic tersebut.

Sebagai contoh softplastic dua inci dipadankan bersama jighead dengan mata kail bernombor satu atau dua dan softplastic 3 inci dengan matakail 2/0 atau 3/0.

Pastikan kedudukan betul

Bagi softplastic jenis paddle-tail atau juga dikenali sebagai ‘ekor T’ pastikan hujung ekornya menunjuk ke bawah, kerana ekornya direka untuk mengeluarkan aksi renang dengan baik begitu. Berlainan dengan jenis straight-tail dan curly-tail yang boleh berfungsi meski digunakan dalam keadaan terbalik.

Anggarkan di mana mata kail akan keluar

Sebelum memasukkan mata kail ke dalam softplastic, gandingkan jighead dengan badan softplastic bersebelahan antara satu sama lain untuk mengetahui di mana hujung mata kail akan keluar dari badannya. Sebaik-baiknya tandakan tempat tersebut agar tidak terlupa sama ada dengan menggunakan pen atau melukakan sedikit badan softplastic menggunakan hujung mata kail.

Tancap mata kail di tengah-tengah

Tancapkan dan pastikan mata kail sentiasa berada di tengah-tengah badan softplastic, kerana badan yang bengkok akan mencacatkan aksi renangannya. Setelah hujung mata kail sampai pada bahagian yang ditanda tadi barulah mata kail dikeluarkan daripada badannya di bahagian tersebut.

Ulang semula jika perlu

Jika badan softplastic yang dipasang pada jighead bengkok atau mata kail ditancap keluar terlalu awal, keluarkan mata kail dan ulang semula proses dari awal sehingga sempurna.