Kaedah pembayaran kad digalakkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Pada masa ini, terdapat beberapa buah stesen minyak sudah menerima pembayaran menggunakan kad debit atau kredit.

Namun begitu masih terdapat stesen-stesen minyak masih belum dapat menerima pembayaran secara kad dan ia merupakan satu perkara yang diambil maklum serta diteliti oleh Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) jika semua stesen minyak dapat menggunakan kaedah pembayaran menggunakan kad.

Ia setentunya akan mengurangkan penggunaan wang tunai dalam pembayaran, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika mengulas persoalan jika kaedah pembayaran tanpa wang tunai dapat juga dilaksanakan di stesen minyak semasa sidang media hari ini.

Menurutnya lagi, ketika ini banyak pasar raya di negara ini sudah menerima pembayaran menggunakan kad iaitu kad kredit atau debit di mana ia merupakan satu langkah untuk mengurangkan penggunaan wang tunai dalam membuat pembayaran. Selain daripada itu, Yang Berhormat Dato juga menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh beberapa kedai minum dan kedai kecil yang menggalakkan para pelanggan mereka untuk membayar menggunakan kaedah pembayaran kad.

Yang Berhormat Dato berkata ia merupakan inisiatif yang baik daripada pihak-pihak peniaga berkenaan untuk sama-sama menjaga kesihatan semua dan satu contoh baik yang boleh diikuti oleh kedai-kedai lain yang belum menawarkan kaedah pembayaran sedemikian.