Kaedah pencen pandu lalu dapat sambutan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Kemudahan penerimaan pencen turunan dan perkhidmatan secara pandu lalu mendapat respons yang baik dan positif daripada para penerima di mana ia berjalan secara lancar.

Respons positif kepada kemudahan itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media hari ini.

Kemudahan penerimaan pencen tersebut dilaksanakan selama dua hari iaitu pada 26 Ogos dan 28 Ogos di mana pada hari pertama menyaksikan seramai 1,007 orang menggunakan kaedah pandu lalu berkenaan.

Yang Berhormat Dato berkata pada awal kaedah itu dilaksanakan, sebahagian protokol bagi kaedah itu adalah bagi penerima untuk turun dari kereta untuk mengambil pencen mereka di kaunter.

Namun begitu, pada jam pertama kaedah itu dilaksanakan didapati proses tersebut mengambil masa lama dan kaedah ditukar di mana pegawai perbendaharaan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk pergi ke kenderaan para penerima bagi mempercepatkan proses itu.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan jumlah penerima pencen yang tidak menggunakan kemudahan penerimaan seperti bank pada masa ini adalah seramai kira-kira 2,200 orang penerima.

Beliau menerangkan seramai 1,007 orang penerima telah menggunakan kaedah pandu lalu, cuma tinggal kurang dari 500 orang lagi yang menerima akan menggunakan kaedah itu pada hari kedua.

Selain daripada itu, terdapat juga penerima yang tidak mahu menggunakan kemudahan pandu lalu dan mereka telah membuat temu janji untuk datang sendiri ke kaunter untuk menerima pencen mereka mengikut waktu yang ditetapkan.