Kaedah pengajaran berkesan diutamakan

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 12 JUN – Seramai 32 orang guru dari pelbagai sekolah di Daerah Belait telah berkumpul di Sekolah Panaga Kampus Teraja bagi mengikuti Bengkel Pembangunan Sekolah Profesional yang meliputi pelbagai kaedah pengajaran berkesan.

Dianjurkan hari ini oleh Sekolah Panaga dengan kerjasama sekolah-sekolah Kluster 6, bengkel berkenaan adalah hasil daripada perbincangan yang diadakan antara kedua-dua pihak penganjur susulan kejayaan Persidangan Mini Pembangunan Profesional bagi Guru-guru yang diadakan Februari lalu.

Timbalan Ketua Guru di Kampus Teraja, Sekolah Panaga, Perminder Sanghera menjelaskan bahawa selepas persidangan berkenaan, mereka terus berbincang dengan sekolah-sekolah Kluster 6 mengenai bidang-bidang yang mungkin guru-guru perlukan sokongan serta untuk menyelidiki butiran strategi pengajaran berkesan.

“Antara bidang yang dibangkitkan semasa perbincangan itu adalah penyelesaian masalah dan matematik, yang membentuk asas bengkel hari ini.”

Oleh itu, bengkel berkenaan bermatlamat untuk menyediakan dan berkongsi pengetahuan antara guru-guru yang ingin mendapatkan dan memberikan pengajaran dan pengalaman pembelajaran terbaik kepada pelajar-pelajar mereka.

Beberapa orang guru sedang meneliti salah satu daripada pelbagai penyelesaian matematik semasa bengkel dijalankan.
Sebahagian daripada guru yang menghadiri Bengkel Pembangunan Sekolah Profesional di Sekolah Panaga Kampus Teraja.
Beberapa orang guru sedang membincangkan beberapa kaedah pengajaran berkesan.

“Bengkel ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan, yang termasuk Key Stage (KS) 1, Lower KS2 dan Upper KS2,” tambah beliau.

Jelasnya lagi, setiap peringkat menumpukan mengenai pengajaran pelajar daripada pelbagai peringkat usia secara berkesan, dengan KS1 memfokuskan terhadap para pelajar Tahun 1 dan 2, sementara Lower KS2 dan Upper KS2 pula memfokuskan para pelajar Tahun 3 dan 4 serta Tahun 5 dan 6, masing-masing.

Antara topik yang dibincangkan dalam bengkel itu termasuk pelbagai metode pengajaran yang bertujuan untuk menyediakan lebih banyak strategi pengajaran praktikal, bukan sahaja untuk memastikan para pelajar terlibat dalam pembelajaran malah untuk membantu melaksanakan pengajaran ke dalam bentuk yang lebih interaktif bagi para pelajar.

“Semasa bengkel, guru-guru akan dapat mempelajari pelbagai strategi yang kami gunakan di Sekolah Panaga untuk mengajar pelajar-pelajar kami, sebahagiannya termasuk penggunaan pelbagai bahan ketara, aparatus dan diagram untuk menjana perbincangan dalam kalangan guru dan pelajar-pelajar,” ujarnya.

Dengan kejayaan bengkel berkenaan, Sekolah Panaga dan seAkolah-sekolah Kluster 6 akan terus mengendalikan bengkel serupa pada masa hadapan, dengan bengkel seterusnya akan lebih menumpukan kepada Guided Reading Bahasa Inggeris yang bakal diadakan sekitar minggu depan.