Kaedah plasma darah salah satu alternatif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Berikutan dengan pandemik COVID-19, seluruh dunia belum lagi menemui vaksin bagi merawat virus tersebut, namun, terapi atau kaedah plasma darah salah satu idea yang baik dengan cara mengambil darah dan diberikan kepada mereka yang sangat-sangat memerlukan dan kritikal.

“Walau bagaimanapun, ada beberapa perkara perlu diberi perhatian terutama sekali mengenai virus COVID-19 ini, jika 100 orang telah dijangkiti, tidak semua memiliki antibodi yang kuat. Itu yang merungsingkan. Bagaimana mereka pulih kalau tidak memiliki antibodi yang kuat. Oleh itu, mungkin ada mekanisme yang lain yang menyebabkan seseorang itu boleh sembuh.”

Demikian telah dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab persoalan mengenai pendapat beliau terhadap terapi atau kaedah plasma darah yang merupakan satu alternatif yang berpotensi menyembuhkan pesakit COVID-19, semasa sesi soal jawab di Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Oleh yang demikian, kita cari pesakit yang memiliki antibodi. Kebanyakannya kalau yang memiliki antibodi itu, majoritinya ia hanya akan menunjukkan pada hari ketujuh berikutnya.

“Sebab itulah, kalau menggunakan ‘test kit’ yang menunjukkan keputusan yang cepat itu tidak berkesan terutama sekali kalau dilakukan kepada orang yang baharu dijangkiti dalam masa kurang dari tujuh hari,” jelasnya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga berpendapat bahawa jika seseorang itu mempunyai antibodi, kita tidak tahu berapa jumlah antibodi yang diperlukan untuk diberikan kepada seseorang.

“Masa ini tidak ada protokol mengenainya, akan tetapi ia adalah satu perkara yang terdesak. Beberapa institusi mencubanya, dan ianya seakan berkesan tapi belum diiktiraf oleh WHO buat masa ini kerana perlu diingat jua kita mengambil darah daripada orang yang bekas sakit,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

“Mereka belum lagi sembuh sepenuhnya, dan berapa jumlah darah dan antibodi kita perlu ambil, ia menjadi satu perkara lagi yang perlu difikirkan,” tambah Yang Berhormat Dato.
Beliau juga mengingatkan bahawa kita memberi darah daripada seorang kepada seorang lain risikonya mesti ada.

“Masa inilah kita dapat tahu apa jenis penyakit yang boleh kita periksa (screen) seperti HIV, sifilis dan seumpamanya. Mungkin virus ini dapat mengaktifkan penyakit lain, itu pun kita tidak pasti,” katanya.

Oleh itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berpendapat bahawa mereka perlu mengimbangi risiko dan faedahnya. Maka perlu diteliti lagi dengan benar supaya mereka tidak membahayakan pesakit pada masa yang sama.