Kaedah tandai penyu dipersoal

SEMPORNA, 14 Mei – Penyelam profesional melahirkan kebimbangan dengan kaedah yang digunakan dalam proses menandai penyu oleh penyelidik di perairan Mabul di sini.

Timbalan Presiden Persatuan Penyelam Profesional Semporna Dahlan Maizin berkata proses menandai yang diadakan di perairan Mabul baru-baru ini melibatkan teknik sama dengan menggunakan ‘lift bag’ untuk membawa penyu keluar dari laut ke permukaan untuk tujuan sama yang dilakukan beberapa tahun lepas.

“Seorang daripada kami mengambil bahagian dalam kerja penyelidikan beberapa tahun lalu dan mengambil video proses berkenaan, rakaman itu menunjukkan sekumpulan penyelam membawa penyu dari laut ke permukaan (untuk ditanda di atas bot) menggunakan lift bag.

“Bagi manusia, apabila mereka menyelam, kemudian terus ke permukaan air dari bawah lautan sangat mengancam nyawa kerana kesan drastik terhadap tekanan kepada fungsi badan, dan perkara sama boleh berlaku kepada penyu berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, sekumpulan jurulatih selam di Mabul menjumpai bangkai penyu dengan tali terlilit di badannya, tetapi mereka kurang pasti sama ada ia berkaitan dengan penyelidikan atau tangkapan haram spesies itu.

Dalam pada itu, Dahlan berkata penyelam di Mabul juga menyedari penyu di perairan itu takut dengan kehadiran manusia.

Dahlan yang mempunyai pengalaman menyelam selama hampir 10 tahun di Mabul, mendapati penyu di kawasan menyelam tidak lagi mesra kepada penyelam sepertimana sebelum ini.

“Tidak seperti penyelidik yang melakukan kajian mereka dua kali setahun, mereka mungkin tidak menyedari perubahan tingkah laku penyu-penyu ini tetapi bagi kami yang menyelam di sini setiap hari, penyu dilihat berenang jauh daripada manusia dan bilangannya tidak banyak seperti sebelum ini,” katanya. – Bernama