Kaesong dikenakan Perintah berkurung

SEOUL, 26 JULAI – Pihak berkuasa Korea Utara telah mengenakan perintah berkurung di Kaesong, selepas negara tersebut merekodkan kes pertama wabak yang disyaki COVID-19.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, mengadakan mesyuarat tergempar ‘politburo’ atau jawatankuasa penggu-balan dasar negara terbabit, semalam bagi melaksanakan beberapa langkah kawalan.

Agensi berita rasmi KCNA melaporkan, ini termasuk pelaksanaan sistem da-rurat maksimum dan arahan untuk mewartakan situasi amaran tertinggi, bagi mengekang penularan virus terbabit.

Sekiranya kes yang dikenal pasti itu disahkan sebagai COVID-19, itu kes pertama seumpamanya di Korea Utara, dengan kemudahan kesihatan di negara terbabit dilihat tidak mencukupi untuk menghadapi ‘peperangan’ menentang wabak berkenaan.

Berdasarkan laporan KCNA, seorang individu, dipercayai berpaling tadah dengan kepemimpinan Korea Utara menyusup masuk semula ke negara terbabit, pada 19 Julai lalu, selepas berada di Korea Selatan selama tiga tahun.

Orang ramai memakai penutup mulut dan hidung ketika melintasi papan tanda yang memaparkan nasihat untuk mencegah jangkitan koronavirus di Imjingak Pavilion, Paju. Pihak berkuasa Korea Utara mengenakan perintah berkurung di Kaesong, selepas negara terbabit merekodkan kes pertama wabak yang disyaki COVID-19. – AP

Bagaimanapun, tiada laporan rasmi dikemuka Korea Selatan berhubung mana-mana individu menembusi kawalan sempadan yang menjadi ‘lombong’ periuk api dan dipenuhi pusat kawalan, sekali gus dinobat kawasan paling dikawal ketat di dunia.

Pyongyang sebelum ini menegaskan bahawa Korea Utara tidak merekodkan sebarang kes positif COVID-19, meskipun penularan wabak itu melanda seluruh pelosok dunia.

Media rasmi melaporkan, pesakit yang dipercayai dijangkiti wabak ter-babit, selain mana-mana kontak rapatnya diarahkan menjalani perintah kuarantin di Kaesong, iaitu bandar di sempadan Korea Selatan.

Jong Un dilaporkan berkata, virus yang mengundang maut itu mungkin berjaya ‘menyusup’ masuk ke Korea Utara, justeru pihak berkuasa kini giat melakukan langkah bagi mengekang penularannya dari Kaesong.

Korea Utara sebelum ini menutup pintu sempadannya pada Januari lalu, selepas COVID-19 dilaporkan menular di seluruh China, namun penganalisis berpendirian bahawa pendekatan sedemikian gagal mengekang daripada wabak terbabit menyusup masuk ke negara yang terkenal dengan kekuatan nuklear itu.

Sementara itu, Korea Selatan sehingga kini merekodkan sekitar 40 hingga 60 kes positif COVID-19, dalam tempoh sehari. – AFP