SINGAPURA – Sebuah restoran di Singapura yang dikelilingi dengan aroma buah durian yang sangat menyengat telah menempa kejayaan apabila para pelanggan berpusu-pusu mengunjungi kafe tersebut untuk merasai keunikan rasa buah eksotik itu.
Buah berduri ini sudah lama dianggap sebagai makanan istimewa di Asia Tenggara dan telah meninggalkan jejak, sama ada anda menyukainya atau tidak. Aromanya membuatkan kebanyakan perhotelan dan juga kereta api metro melarangnya dibawa masuk.
Mereka yang tidak menyukai buah durian menggambarkan bau aroma yang kuat itu seperti campuran bau stoking gimnasium dan juga bawang, manakala bagi mereka yang menggemarinya pula, aromanya yang kuat pula disamakan dengan keju.
Buah pahit-pahit manis itu biasanya dimakan sebagai pencuci mulut. Seperti yang terdapat di kafe Mao Shan Wang di daerah Chinatown, Singapura, ia mempunyai menu khas durian dalam semua hidangannya, bahkan sangat menyelerakan.
Pelanggan boleh memilih pelbagai jenis hidangan seperti nugget ayam beserta dip perisa durian, pizza disaluti durian, kentang goreng dengan sos durian. Kesemuanya ini dapat dinikmati dengan kopi.
“Durian biasanya dimakan begitu sahaja, sebagai pencuci mulut atau sebagainya, namun apa yang dilakukan oleh syarikat kami adalah durian dihidangkan bersama dengan hidangan savouri seperti kentang goreng dan nugget,” kata jurucakap syarikat Lance Lee kepada AFP.
“Kami akan cuba untuk mempelbagaikan lagi hidangan kami, mungkin dengan nasi, pasta dan lain-lain lagi.”
Mao Shan Wang, ‘Cat Mountain King’ bagi masyarakat Cina, merujuk kepada buah durian yang berasal dari Kelantan, Malaysia. Ia mempunyai rasa manis dan biji bersaiz kecil.
Apabila AFP melawat ke kafe tersebut baru-baru ini, suasana perniagaannya sangat memberangsangkan.
Ramai yang memilih ais krim durian untuk melegakan diri dari pada cuaca panas tropika yang melanda negara itu. Ramai daripada pengunjung adalah pelancong asing, yang mencuba sendiri buah durian tersebut dengan menggunakan sarung tangan.
Ada juga yang menunggu dan beratur untuk membeli pelbagai konfeksi berperisa durian, dan ada juga potongan durian yang dibungkus rapi agar dapat dibawa ke negara asal mereka.
Pelancong dari Amerika Syarikat, Michael Capps, yang cuba merasai buah durian segar, berkata dia sangat menyukainya.
“Sukar untuk menggambarkan rasanya, tetapi ia sebenarnya mempunyai rasa manis dan sangat sedap.” – AFP