‘Kafe pesawat’ lepas kerinduan melancong

BANGKOK – Penularan wabak COVID-19 secara global telah menjejaskan kehidupan seharian penduduk dunia. Daripada pekerjaan hinggalah pendidikan kanak-kanak menghadapi kesan yang mendalam dan terpaksa menjalani kehidupan dalam normal baharu.

Sehinggakan setiap negara global menyeru rakyatnya dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan virus seperti pemakaian penutup mulut dan hidung serta menjaga kebersihan diri.

Dalam masa yang sama, negara global juga masih menutup sempadan negara mereka daripada kemasukan luar negara mahupun melakukan perjalanan keluar negara. Justeru, sesetengah penerbangan komersial terpaksa dikurangkan demi membendung penularan wabak.

Ketika jutaan penduduk dunia terkandas di rumah berikutan pandemik COVID-19, Thailand mencuri tumpuan dengan membuka ‘kafe di dalam kapal terbang’, seolah-olah pelanggan sedang menikmati hidangan di atas pesawat.

Kafe terletak di bandar pesisir, Pattaya itu menggunakan sebuah rangka kapal terbang komersial lama dan penggemar kopi akan duduk dengan selesa di tempat duduk kelas pertama.

Kru kabin Thai Airways memakai penutup mulut dan hidung ketika melayan pelanggan di restoran bertemakan kabin pesawat di Bangkok. – AFP
Para pengunjung mengambil gambar di luar kerangka pesawat Airbus 330 lama yang dijadikan kedai kopi. – AFP
Antara makanan yang dihidangkan di restoran bertemakan kabin pesawat di Bangkok. – AFP

Kelihatan para pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar di kokpit pesawat. – AFP

Mereka turut diberikan pas masuk dan sebahagian pelanggan turut memilih untuk melakukan lawatan di kokpit.

Salah seorang pelanggan berusia 26 tahun, Thipsuda Faksaithong, berkata kepada media, pengalaman berada di kafe itu sangat mengujakan.

“Saya merasai pengalaman berada di pesawat penerbangan kelas pertama dan turut berpeluang berada di kokpit.

“Seolah-olah saya adalah kapten pesawat ini,” katanya.

Sementara itu, syarikat pe-nerbangan nasional di Bangkok, Thai Airways turut memperkenalkan konsep yang sama.

Salah seorang pelanggan, Intrawut Simapichet, 38, yang mengunjungi kafe itu bersama isteri dan anaknya berkata, pengalaman berada di dalam pesawat itu lebih daripada menikmati hidangan makanan.

“Sebelum ini, saya adalah individu yang banyak mengembara, tetapi apabila terpaksa duduk di rumah, situasi itu sedikit sebanyak agak memberi tekanan. Kafe ini memberikan sedikit kelegaan selepas sekian lama tidak menaiki pesawat,” katanya.

Thailand adalah negara pertama selepas China yang mengesan kes COVID-19. Bagaimanapun, jumlah kes COVID-19 di negara itu cuma kira-kira 3,400 jangkitan dengan 58 kematian.

Sekatan perjalanan telah mengakibatkan ekonomi khususnya bagi sektor pelancongan merudum termasuk Thailand yang turut terjejas kerana perintah kuarantin diwajibkan bagi kebanyakan negara bagi golongan pengembara.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Thailand sedang mempertimbangkan pelaksanaan gelembung perjalanan dengan negara terpilih khususnya membabitkan kadar kes COVID-19 yang rendah. – AFP