Kafe, restoran dibuka semula di Perancis

PARIS, 2 JUN – Warga Perancis kembali mengunjungi kafe dan restoran kesukaan mereka hari ini selepas ditutup beberapa minggu disebabkan lockdown koronavirus, menandakan satu langkah ke arah pemulihan perniagaan.

Tatkala ribuan penduduk membanjiri taman yang dibuka semula pada hujung minggu, kafe dan restoran bersedia untuk mengalu-alu pelanggan dalam fasa kedua pembatalan lockdown secara berperingkat.

“Kami telah menghabiskan beberapa jam membersihkan tempat ini,” kata Theo Stuzmann, ketua pelayan restoran Maison Kammerzell di Strasbourg, timur Perancis.

Dan disinfeksi kedua dijangka dilakukan sebelum mereka dibuka hari ini, beritahunya kepada AFP.

“Perasaan optimisik menguasai hari ini,” kata Herve Becam daripada kesatuan hospitaliti UMIH, mengalu-alu penerimaan semula tempahan.

Warga Perancis boleh sekali lagi “menjalani kehidupan normal,” kata Perdana Menteri Edouard Philippe pada minggu lalu ketika beliau mengumumkan pembukaan semula.

Namun di Paris, di mana koronavirus masih lebih aktif berbanding kawasan lain di Perancis, kafe, bar dan restoran akan dihadkan di luar teres.

Untuk memenuhi pembukaan restoran di bandar, majlis perbandaran memberikan kebenaran khas untuk meja diletakkan di tepi jalan, tempat letak kereta dan tempat awam lain. Beberapa jalan juga akan ditutup kepada kereta. – AFP

Pelanggan minum di teres Café de Flore di Paris kelmarin tatkala kafe dan restoran dibuka semula di Perancis. – AFP