Kafe Sindrom Down pertama di Syria

DAMSYIK – Memakai pakaian seragam dan topi berwarna coklat dan jingga, beberapa belia Syria yang menghidap sindrom Down mengambil pesanan, sementara yang lain berdiri di belakang bar menyiapkan makanan dan minuman di kafe bernama Sucette.

Ini merupakan kafe pertama di Syria yang dikendalikan oleh 20 orang yang menghidap sindrom Down, yang didirikan di taman Tishreen di ibu kota Damsyik.

Para pelayan ini mencipta suasana positif di kafe, bukan hanya dengan memberikan layanan yang baik tetapi juga dengan bermain muzik dan menari di tengah sorakan pelanggan.

Idea Sucette dimulakan oleh Juzour Association, sebuah organisasi amal tempatan yang menjalankan beberapa projek kemanusiaan, salah satunya adalah mengatur acara untuk orang-orang yang menghidap sindrom Down.

Pada tahun lalu, Juzour Association mula mencuba menjalankan sebuah restoran, yang mengupah orang yang menghidap sindrom Down, selama satu bulan. Ini ternyata berjaya, dan itulah asas bagaimana Sucette ditubuhkan.

Kelihatan para pelanggan berada di kafe Sucette di Damsyik, Syria untuk menikmati kopi. – Xinhua

Kholoud Rajab, pengerusi lembaga persatuan itu, memberitahu Xinhua projek itu bertujuan untuk menepis stereotaip mengenai orang-orang yang menghidap sindrom Down dan membantu golongan ini berinteraksi dengan orang normal.

Setakat ini, 20 orang yang menghidap sindrom Down dan 10 orang normal bekerja di Sucette, kata Rajab, sambil menambah makna projek itu jauh lebih mendalam daripada sekadar mendirikan kafe.

“Sucette lebih daripada sekadar kafe. Ini adalah idea yang akan menyatukan golongan istimewa dalam masyarakat dan membolehkan mereka menerima kami juga,” katanya.

Kerana sibuk menerima pesanan daripada pelanggan yang masuk ke kafe, Muhannad Saleh, salah seorang daripada 20 pelayan, memberitahu Xinhua dia gembira dengan pekerjaan baharunya.

Saleh mengatakan dia menyukai idea bekerja keras untuk mendapatkan gaji, yang membuatkan dirinya dapat membuktikan dirinya berharga.

“Saya gembira dapat bekerja di sini dan semuanya sempurna. Saya melayan pelanggan dengan semua yang saya mampu,” kata pemuda itu.

Bagi Rehab Qattan, seorang gadis yang menghidap sindrom Down, hari-hari berada di rumah tanpa melakukan apa-apa adalah sesuatu yang membosankan.

“Saya sudah muak dengan tinggal di rumah,” katanya, sambil menambah bekerja di Sucette adalah sumber kebahagiaan baginya. – Xinhua