Kagum dengan bakat P Ramlee

Bakat genius yang mengalir dalam tubuh Allahyarham Tan Sri P Ramlee sentiasa menerbitkan kekaguman kepada Ketua Pencetus Impian Kumpulan Enfiniti, Puan Sri Tiara Jacquelina (gambar bawah).

Tiara berkata, dia berasa malu hanya mengetahui nama P Ramlee, tetapi tidak mengangkat kehebatan bintang lagenda itu. Hasil perbincangan bersama Adlin Aman Ramlie yang bertindak sebagai penulis skrip dan pengarah, lahir sebuah naskhah mega, teater muzikal P Ramlee pada 2007.

Kini, pementasan yang pernah dipentaskan sebanyak tiga musim di Istana Budaya (IB) boleh disaksikan menerusi saluran penstriman Enfinitiv V di platform Vimeo sempena memperingati ulang tahun pemergian P Ramlee yang ke-47, minggu lalu.

Dengan situasi negara yang sedang diuji dengan pandemik COVID-19, Tiara berkata, tayangan teater muzikal P Ramlee menerusi platform penstriman berkenaan memberi peluang kepada peminat yang terlepas peluang menyaksikan pementasan berkenaan di IB.

Katanya, harga yang ditawarkan berpatutan, malah lebih murah berbanding tiket paling rendah menyaksikan pementasan berkenaan secara langsung.

“Dengan hanya membayar sebanyak RM25, pelanggan dapat menikmati teater ini selama 48 jam tanpa henti. Apa yang penting, mereka boleh menyaksikannya bersama seluruh keluarga di rumah.

“Tawaran menyaksikan pementasan teater muzikal P Ramlee ini hanya sah hingga 30 Jun. Setakat ini, sambutan yang diterima cukup menggalakkan. – Agensi