Kagum dengan keramahan penduduk, keindahan masjid

Oleh Efwad Rashyad

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri telah menerima kunjungan daripada rombongan seramai 30 orang ahli Jawatankuasa Masjid An-Nur Temasya Glenmarie, Shah Alam, Selangor, Malaysia yang bertujuan merapatkan lagi hubungan dan bertukar-tukar pengalaman.

Ketibaan rombongan berkenaan disambut dengan pukulan hadrah oleh pasukan hadrah belia masjid dan dimeriahkan lagi dengan laungan dikir oleh Kumpulan I’Badur-Rahman Masjid Hassanal Bolkiah.

Ketua rombongan berkenaan, Norazlan Jalil melahirkan perasaan terkejut dengan kemeriahan sambutan mengalu-alukan kedatangan mereka.

“Kami melahirkan perasaan terima kasih pihak masjid yang begitu ramah sepanjang kami mengadakan lawatan singkat di sini. Kami juga kagum dengan keindahan masjid ini. Penduduk di kampung ini sangat bertuah dan merasa bangga mempunyai masjid yang sangat cantik ini,” ujarnya.

Semasa kunjungan itu, Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Haji Shamsul bin Haji Abdul Latif yang mengalu-alukan kedatangan rombongan berkenaan telah menyampaikan taklimat mengenai sejarah dan perkembangan masjid berkenaan.

Selepas meninjau lebih dekat ruang kemudahan masjid, rombongan berkenaan berkesempatan bertukar-tukar cenderamata kenangan.

Haji Shamsul menerima cenderamata kenangan daripada ketua rombongan pelawat.