Kahwin bawah umur: Pandangan semua pihak diambil kira

KOTA KINABALU, 9 Ogos – Kerajaan akan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan dalam perbincangan bagi menaikkan had umur perkahwinan bawah umur di negara ini daripada 16 kepada 18 tahun sebelum sebarang keputusan dibuat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk V.K Liew.

Beliau berkata pandangan semua pihak berkaitan itu penting bagi melihat implikasi bakal wujud sekiranya undang-undang tersebut dilaksanakan kelak.

Liew berkata ini termasuk mengambil kira pandangan pihak berkepentingan di Sabah dan Sarawak memandangkan kedua-dua negeri itu membenarkan perkahwinan di bawah umur 16 tahun dengan kebenaran ibu bapa berdasarkan perkahwinan tradisi yang diamalkan penduduk pelbagai kaum dan agama di negeri berkenaan.

“Pertimbangan dari sudut perundangan Islam turut diambil kira dalam perbincangan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan projek Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu yang baharu di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Seri Ir Dr Roslan Md Taha; dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Datuk Jalil Marzuki.

Liew berkata perbincangan bagi meminda had umur perkahwinan bawah umur itu dibuat bertujuan menjaga serta memelihara kepentingan kanak-kanak selain memastikan tiada pihak mengekspoitasi golongan tersebut bagi tujuan tertentu.

Beliau berkata satu rumusan akan dibuat selepas perbincangan selesai sebelum undang-undang itu dilaksanakan. – Bernama