Kahwin demi kereta

BEIJING, 27 NOV – Penduduk Beijing yang terdesak memilih perkahwinan palsu semata-mata untuk mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan bagi memiliki kereta selepas kerajaan mengetatkan syarat pemilikan kenderaan.

Stesen televisyen CCTV melaporkan, ada penduduk sanggup membayar lebih AS$10,000 untuk berkahwin dengan seseorang yang mempunyai nombor pendaftaran atau lesen memiliki kenderaan.

Selepas berkahwin, mereka akan membuat pemindahan nama pada lesen itu sebelum bercerai.

Menurut laporan itu, ada beberapa agensi mengenakan bayaran melebihi AS$22,700 untuk mendapatkan lesen memiliki kenderaan dengan memanipulasi perkahwinan.

Pihak berkuasa Beijing pada 2011 mengetatkan pemilikan kenderaan bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya dan pencemaran udara yang teruk.

Menurut laporan itu, kini terdapat 2,600 permohonan untuk satu nombor pendaftaran kenderaan enjin petrol, manakala untuk kereta elektrik pula pemohon terpaksa menunggu giliran hingga 2028.

Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk yang terdesak sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki kereta termasuk berkahwin. – Agensi