Oleh Adiiwira
Dalam sama-sama membendung penularan wabak COVID-19, melakukan penjarakkan sosial merupakan satu langkah yang terbaik dilakukan oleh orang ramai.
Bukan hanya dapat mengelakkan diri daripada jangkitan, malah dapat membantu pihak kerajaan khususnya kementerian kesihatan melakukan rawatan dan kuarantin kepada pesakit-pesakit.
Dengan perintah kawalan pergerakan tersebut, semua sekolah-sekolah diarahkan ditutup, pegawai dan kakitangan kerajaan mahupun swasta disuruh bekerja dari rumah, restoran-restoran hanya dihadkan melakukan pesanan secara bawa balik malah pusat-pusat hiburan seperti pawagam terpaksa ditutup. Justeru kita perlu berada di rumah masing-masing dengan melakukan pergerakan yang terhad.
Namun, melakukan pergerakan terhad bukan bermaksud kita tidak melakukan apa-apa, kita boleh saja menikmati hiburan seperti drama-drama atau rancangan-rancangan TV yang kita minati. Tertutupnya pawagam buat sementara waktu bukan menghalang kita melihat cerita-cerita terbaharu. Banyak drama-drama baharu yang disiarkan melalui rangkaian-rangkaian TV Malaysia seperti RTM TV1, RTM TV2, TV3, TV Okey dan sebagainya.
Dalam ruangan kali ini, kita menumpukan kepada dua buah drama Melayu yang disiarkan iaitu drama Rindu Yang Terindah dan drama Isteriku 120kg



Drama Rindu Yang Terindah merupakan drama arahan Emi Sufian yang diadaptasi daripada novel karya Eshal Nuranis, Derita Terindah. Drama ini dimuatkan dalam slot Samarinda TV3 yang mula ditayangkan pada 16 Mac lalu dan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam.
Drama ini menceritakan tentang perkahwinan antara Hazil Wafiy (Redza Rosli) dan Airis (Amelia Henderson) yang tidak memiliki perasaan kasih dan sayang. Hazil telah melayan isterinya Airis dengan perasaan benci sedangkan Airis berusaha mengambil hati suaminya.
Semuanya bermula setelah pemergian tragis Hazieq, tunang Airis yang telah meninggal dunia sebelum tarikh perkahwinan mereka. Kehidupan Airis yang dahulu bahagia menjadi satu penyeksaan yang tidak pernah diduga apabila tempat Hazieq sebagai teman hidup terpaksa digantikan oleh abangnya, Hazil.
Setelah berkahwin, Airis diseksa setiap hari walaupun ada kasih yang berputik antara mereka. Kemudian, barulah Airis mendapat tahu yang Hazil berdendam dengannya kerana Hazil tidak sempat menerima sumbangan buah pinggang dari Hazieq untuk dirinya yang menghidap penyakit buah pinggang tahap kelima.
Drama 20 episod ini, selain dilakonkan oleh bintang utamanya Redza Rosli dan Amelia Henderson, beberapa barisan pelakon turut membintangi drama ini seperti Adam Lee, Tunku Affie Rania, Amar Asyraf, Esma Daniel, Beego, Maria Farida, Wan Nor Azlin, Emelda Rosemila, Nazrief Nazri, Hazman Al-Idrus , Wanna Ali, Shahz Jaszle, Doria Rachel, Zaefrul Nordin, Rahim Jailani, Zaryyn Min.
Drama diarahkan olek Malek Rahman dan penulis skripnya Zahirah Hassan, Isteriku 120kg pula merupakan sebuah drama yang diadaptasi dari novel karya Siti Nur Dhuha dimuatkan dalam slot Widuri, RTM TV1 yang menggantikan drama Rahsia Hati. Drama ini mula ditayangkan pada 12 Mac lalu yang memiliki sebanyak 13 episod.
Isteriku 120kg menampilkan gandingan Amar Asyraf dan Jaja Illiyes yang mengisahkan tentang Aiman Zafril (Amar Asyraf) yang disyaratkan oleh Nenek Masyitah untuk mengahwini Nelydia (Jaja Illiyes) sebelum harta keluarga dipindah milik kepada namanya. Nelydia merupakan rakan sepermainan Aiman ketika beliau berusia tujuh tahun. Malangnya, Nelydia bukanlah pilihannya berdasarkan saiz badan yang besar.
Aiman tiada pilihan, dia perlu berkahwin jika mahu harta menjadi miliknya. Setelah bergelar suami kepada Nelydia seberat 120kg itu, nenek Masyitah mahukan cicit pula. Jika tidak, Aiman jangan berharap nenek Masyitah akan memberikan harta.
Gelap hitam dunia Aiman Zafril. Bagaimana dia mahu menyentuh Nelydia sedangkan melihat wanita itu sahaja tekaknya sudah loya. Nenek Masyitah pula makin hari makin mendesak mahukan cicit. Tetapi lain pula bagi pihak Nelydia yang berasa cukup bertuah kerana dapat menjadi isteri kepada lelaki kacak dan kaya seperti Aiman Zafril. Namun, sukar sekali untuk membuatkan Aiman Zafril jatuh hati kepadanya.
Untuk terus menjadi isteri Aiman Zafril demi mengecap kemewahan, Nelydia perlu memberikan zuriat buat lelaki itu. Nelydia buntu dan keliru. Perlukah Nelydia berkorban sejauh itu.
Drama ini juga dilakonkan oleh Iswan Ismail, Afifah Nasir, Neera Azizi, Fauziah Nawi, Lisa, Mili Supina, Mak Wan yang disiarkan di RTM TV1 setiap Khamis hingga Ahad pukul tujuh malam.
Menyentuh mengenai kedua-dua drama tersebut, penulis melihat kedua-dua drama ini memfokuskan penceritaannya pada permasalahan kekeluargaan iaitu keterpaksaan dalam perkahwinan. Dalam drama Rindu Yang Terindah memperlihatkan watak Hazil terpaksa mengganti tempat adiknya untuk mengahwini Airis semata-mata kerana dendamnya lalunya selepas berkahwin, dirinya sanggup menyakiti Airis.
Berbeza pula dengan drama Isteriku 120kg, watak utama terpaksa berkahwin dengan wanita yang bukan menjadi pilihannya kerana syarat yang dikenakan oleh neneknya untuk mendapatkan harta. Justeru, ini menunjukkan watak Aiman terpaksa mengahwini Nelydia yang bersaiz badan yang besar semata-mata mahukan harta bukan kerana perasaan kasih dan sayang.
Daripada penjelasan berkenaan, menunjukkan adanya unsur konotasi negatif dalam perkahwinan yang semata-mata kerana dendam dan mendapatkan harta. Sedangkan perkahwinan adalah untuk mendapatkan kebahagiaan dan ketenangan hidup berpasangan.
Namun, itu hanyalah penjelasan penulis, setiap cerita atau drama atau filem pasti ada penghujungnya. Oleh itu, tonton lebih lanjut bagi kedua-dua drama berkenaan.
Dalam masa yang sama, sebuah filem komedi seram arahan A. Razak Mohaideen, Syif Malam Raya bakal ditayangan pada bulan Syawal ini iaitu 24 Mei 2020.
Filem diterajui oleh ahli kumpulan Zero, iaitu Atu dan Sharif dan turut dibarisi pelakon seperti Reen Rahim, Saiful Apek, Ropie serta penampilan sulung tiga orang Youtuber terkenal, iaitu Yoe Parey, Syahmi Sazly dan Asif Suhaimi.
Namun, ketidakpastian tayangan filem ini masih sama dengan yang ditetapkan atau tidak adalah bergantung pada keadaan wabak COVID-19.