Kai-Tak jejas ribuan penduduk

MATNOG, Filipina, 17 Dis – Beribu-ribu orang yang pulang untuk Hari Natal di Filipina terkandas hari ini akibat tekanan tropika Kai-Tak, sehari selepas ribut membunuh 30 orang ketika ia melanda pulau timur negara.

Ribut tersebut telah menjadi lemah, dengan angin bertiup sehingga 90 kilometer sejam, selepas memutuskan bekalan elektrik dan mencetuskan runtuhan tanah di rantau yang dimusnahkan oleh Taufan Besar Haiyan empat tahun lalu, menurut ramalan cuaca negeri.

Pegawai bencana hari ini mengingatkan bahawa lebih banyak banjir dan runtuhan tanah mungkin berlaku dan berkata 15,500 penumpang terkandas disebabkan perkhidmatan feri masih tertangguh di beberapa kawasan di tengah Filipina.

“Saya terkandas selama tiga hari, tidur dalam bas, dan saya mahu pulang kepada keluarga saya untuk Hari Natal,” beritahu Eliaquin Pilapil, petani berusia 55 tahun, kepada AFP dari sebuah pelabuhan di bandar Matnog di timur wilayah Sorsogon.

Penduduk kampung meredah jalan raya yang banjir selepas dilanda ribut Kai-Tak yang membadai Filipina. – AFP

“Kami diberikan makanan sekali atau dua kali sehari dan beberapa penumpang di sini sedang kehabisan wang.”

Kai-Tak, pada mulanya dikelaskan sebagai ribut tropika, membunuh 30 orang, mencederakan 19 dan memaksa 87,700 orang meninggalkan rumah mereka apabila ia melanda pulau timur Samar dan Leyte semalam.

Kai-Tak menumbangkan tiang elektrik di 39 bandar dan merosakkan jalan raya dan jambatan, kata agensi bencana kebangsaan. – AFP