KAIB ke-12 minggu depan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) ke-12 akan berlangsung pada 11 dan 12 Disember ini dengan mengetengahkan tema utama ‘Ilmu dan amalan penentu kebitaran Ummah’.

Dianjurkan oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) selaku tuan rumah dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Islam Borneo, Universiti Teknologi MARA Sarawak (UiTM) Malaysia dan beberapa universiti di Borneo, persidangan berkenaan akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Turut diadakan sepanjang acara selama dua hari itu ialah Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) ke-2 sebagai acara sampingan bagi me-meriahkan lagi penganjuran persidangan.

Perkara ini dimaklumkan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar selaku pengarah bersama KAIB – BIHAS 2019 pada sidang media yang berlangsung di Bilik Hikmah, KUPU SB, hari ini. Turut hadir ialah Setiausaha Bersama KAIB – BIHAS 2019, Awang Mohammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa.

Semasa sidang media berkenaan, Dr Haji Noralizam berkata bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijangka berkenan berangkat bagi merasmikan majlis pembukaan KAIB ke-12.

Dr Haji Noralizam ketika menerangkan mengenai KAIB ke-12 pada sidang media yang berlangsung di KUPU SB, kelmarin.

Majlis perasmian konferensi tersebut juga akan mendengarkan ceramah perdana yang akan disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Konferensi tersebut menyediakan 12 sub tema perbincangan yang merangkumi tajuk-tajuk berkaitan dengan ilmu dan amal, sains sosial dan politik, pendidikan, tamadun dan manuskrip, dakwah, halal, zakat dan wakaf, pedagogi pendidikan Islam, kokurikulum, media eletronik, sukan dan riadah serta pemikiran.

Satu kertas perdana, tiga kertas ucaptama dan 82 kertas kerja dibentangkan sepanjang dua hari konferensi diadakan. Sesi pembentangan selari kertas kerja akan diadakan bermula pada sebelah petang hari pertama dan sebelah pagi hari kedua.

Sementara itu, BIHAS 2 yang membawa tema ‘Memperkasa Pasaran Halal Borneo’ dijadikan sebagai platform bagi menyatukan syarikat-syarikat, usahawan dan pengeluar produk halal di Borneo iaitu Brunei, Malaysia iaitu (Sabah dan Sarawak) dan Indonesia (Kalimantan) di samping mempromosikan produk halal di rantau borneo seterusnya ke mata dunia seperti produk makanan, minumam, kosmetik, farmaseutikal, perkhidmatan, pelancong, kewangan, kesihatan, fesyen tekstil, bioteknologi dan herba.

BIHAS juga merupakan program berterusan dalam memperkasa potensi produk halal Borneo di peringkat global. Pameran BIHAS 2019 akan diadakan di ruang legar luar Dewan Plenari (East Concourse) ICC dan bakal disertai oleh pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan dan dari Sabah, Sarawak serta Kalimantan.