Friday, October 11, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kaji ketagihan terhadap telefon pintar

    NEW YORK, 9 Jan – Dua pemegang saham besar menggesa Apple supaya mengkaji sama ada iPhone terbukti menyebabkan kanak-kanak ketagihan dan penggunaan telefon pintar secara intensif mungkin memberi kesan yang buruk kepada kesihatan mental mereka.

    “Terdapat bukti yang semakin meningkat bahawa, sekurang-kurangnya beberapa pengguna muda yang paling kerap, ia mungkin memberi kesan negatif yang tidak disengajakan” ke atas kesihatan mereka, menurut Jana Partners LLC dan Sistem Persaraan Guru-Guru Negeri California (Calstrs) dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Apple bertarikh 6 Januari dan didedahkan kepada orang ramai semalam.

    “Kebimbangan masyarakat yang semakin meningkat” terhadap penggunaan telefon pintar secara intensif oleh kanak-kanak pada “satu tahap tertentu mungkin memberi kesan kepada Apple,” dalam satu amaran mereka.

    Kedua-dua pemegang saham, yang antara mereka memiliki saham Apple bernilai kira-kira AS$2 bilion, menggesa syarikat agar membangunkan kaedah tambahan untuk ibu bapa menyekat penggunaan telefon bimbit oleh anak-anak mereka.

    “Kami secara khusus meminta Apple supaya menubuhkan satu jawatankuasa pakar untuk menjalankan penyelidikan dan mengkaji isu ini serta memantau perkembangan berterusan dalam teknologi,” menurut surat itu.

    “Sebagai tambahan, kami menggalakkan Apple untuk menawarkan lebih banyak alat kepada ibu bapa dengan meningkatkan perisian peranti telefon mudah alih untuk membolehkan persediaan pilihan yang sesuai dengan umur termasuk mengehadkan masa penggunaan, mewujudkan pengawasan ibu bapa dan sebagainya.

    Pelabur berkata penyelesaian isu ini akan menambah nilai firma dalam jangka masa yang panjang untuk semua pemegang saham mereka.

    Apple belum memberi ulasan mengenai surat tersebut, tetapi ia telah menyediakan kawalan ibu bapa di iPhone yang membolehkan sekatan akses kepada beberapa aplikasi dan isi kandungan tertentu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda