Kaji Perkembangan OKU

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Tahap perkembangan golongan orang kelainan upaya (OKU) di Negara Brunei Darussalam diberikan tumpuan, yang mana negara sedang mengadakan kaji selidik terhadap golongan OKU secara dua fasa.

Fasa pertama diharap akan mengumpulkan maklumat mengenai OKU yang berkhidmat di sektor kerajaan dan sektor swasta dan fasa ke dua pula dirancang akan mengumpulkan maklumat mengenai penglibatan OKU dalam masyarakat.

Usaha ini bertujuan untuk memampankan lagi dasar-dasar, perkhidmatan-perkhidmatan dan program-program sokongan kerajaan dalam memperkasa dan menjaga kesejahteraan OKU di negara ini.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin (gambar bawah) mengongsikan perkara ini dalam perutusannya sempena Hari Antarabangsa OKU yang diraikan setiap 3 Disember.

Terdahulu itu, beliau menekankan bahawa Negara Brunei Darussalam sentiasa mementingkan kesejahteraan serta kebajikan golongan OKU di negara ini dan telah giat berusaha untuk memperkasakan penyertaan OKU dalam bidang pekerjaan, pendidikan dan masyarakat.

Ini termasuk beberapa inisiatif secara berterusan seperti pemberian pencen kelainan upaya kepada golongan OKU dan peraturan dibawah Perintah Kawalan Bangunan melalui peruntukan Different Abilities Design Guidelines untuk memastikan semua bangunan baharu dapat menyediakan kemudahan dan akses bagi golongan OKU.

Selain itu, program-program dan peluang untuk menjalani kursus peningkatan kemahiran yang membolehkan golongan OKU mendapat pekerjaan atau memulakan perusahaan sendiri, program berkomunikasi secara inklusif, inisiatif meningkatkan kepekaan orang ramai tentang kemahiran golongan OKU termasuk dalam industri kreatif, meraikan pencapaian sukan atlet-atlet para dalam pertandingan para di luar negara yang amat dibanggakan serta perancangan untuk membangun sebuah kompleks bangunan OKU yang akan menyediakan ruang-ruang dan kemudahan bekerja, belajar mahupun mengadakan aktiviti-aktiviti riadah dalam suasana yang selesa dan sesuai dengan keperluan OKU.

Menurutnya, usaha advokasi dan pemerkasaan golongan OKU di negara ini dilaksanakan melalui pendekatan whole of nation dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, bukan kerajaan termasuk rakan-rakan strategik.

Dalam ini, tambah beliau, Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya dan persatuan-persatuan bukan kerajaan memainkan peranan penting dalam sama-sama mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menyokong hak OKU, terutamanya melalui aktiviti-aktiviti seperti mengadakan Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia (WAAD) dan larian-larian amal di peringkat kebangsaan.

Menyentuh mengenai Hari Antarabangsa OKU, beliau berkata, tema sambutan tahun ini iaitu Promoting the Participation of Persons with Disabilities and their Leadership: Taking Action on the 2030 Development Agenda, adalah bertepatan dengan usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi membangun golongan OKU di negara ini.