Kaji selidik BSI dijalankan 1 April

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) memaklumkan bahawa kaji selidik ke atas perniagaan-perniagaan yang terpilih untuk menubuhkan Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) akan dijalankan mulai 1 April depan dan dijangka akan dilaksanakan secara bulanan.

AMBD dalam kenyataannya menjelaskan, BSI akan diterbitkan secara bulanan dengan objektif untuk mengukur tahap sentimen atau keyakinan perniagaan-perniagaan di Negara Brunei Darussalam. Lebih 600 perniagaan daripada pelbagai sektor ekonomi di Negara Brunei Darussalam telah dipilih untuk mengikut serta dalam kaji selidik ini.

Perniagaan-perniagaan yang terpilih akan menerima persuratan memaklumkan mengenai penglibatan masing-masing dalam kaji selidik ini. Perniagaan-perniagaan tersebut juga dipohonkan untuk melantik seorang wakil yang bersesuaian untuk ditemu bual yang akan dijalankan oleh beberapa kakitangan AMBD yang akan memperkenalkan diri sebelum sesi temu bual dimulakan.

Kenyataan menjelaskan, soalan-soalan yang akan diajukan adalah berkaitan dengan keadaan atau iklim perniagaan pada masa ini dan pada masa hadapan, pelaburan, pengambilan pekerja, serta kos menjalankan perniagaan.

Maklum balas terhadap soalan-soalan yang akan dikemukakan dijangka bersifat kualitatif. Kesemua maklumat dan pandangan yang diberikan adalah sulit yang mana tiada maklumat peribadi akan dipohonkan selain daripada nama dan maklumat perhubungan.

AMBD menyatakan, mengukur tahap keyakinan perniagaan adalah penting kerana ia merupakan penunjuk utama bagi iklim perniagaan dan tahap keadaan ekonomi sesebuah negara secara amnya.

Keyakinan para peniaga merupakan elemen penting bagi pertumbuhan perniagaan dan pelaburan, di samping dapat menyokong peningkatan peluang pekerjaan. Oleh itu, BSI akan memberikan maklumat tambahan yang bermanfaat mengenai keadaan ekonomi Negara Brunei Darussalam daripada perspektif para peniaga di negara ini. Maklumat yang dikumpul secara berterusan itu juga diharap akan dapat membantu para penggubal dasar untuk menghasilkan dasar-dasar yang tertentu dalam terus menyokong pembangunan ekonomi.

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai kaji selidik berkenaan, orang ramai bolehlah merujuk kepada nota teknikal dan senarai di laman sesawang AMBD (www.ambd.gov.bn). Responden-responden yang ingin mengesahkan kesahihan penemubual juga boleh menghubungi pihak AMBD di talian 2382262.