Kaji selidik jangkitan COVID-19 negara

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan mengadakan kaji selidik ringkas mengenai jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan bahawa kaji selidik berkenaan bertujuan untuk mendapatkan perspektif dan pengetahuan orang ramai mengenai jangkitan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian akan mengongsikan pautan bagi kaji selidik tersebut melalui media sosial (Telegram, Instagram, Facebook serta Twitter dan laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan) yang dimuat naik hari ini dan pesanan ringkas (SMS) yang akan dihantar kepada orang ramai secara berperingkat bermula esok.

Kaji selidik itu dibukakan kepada orang ramai bermula hari ini dan Kementerian Kesihatan memohon kerjasama semua pihak untuk menyertai kaji selidik itu bagi membolehkan kementerian untuk menilai dan mempertingkatkan lagi kempen kesedaran tentang jangkitan wabak COVID-19 di negara ini.