Kaji selidik rangkuman kewangan AMBD 2020

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), dengan kerjasama pihak Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengendalikan kaji selidik rangkuman kewangan bermula kelmarin hingga 15 November ini.

Menurut kenyataan AMBD, kaji selidik tersebut merupakan sebahagian inisiatifnya untuk meningkatkan tahap rangkuman kewangan di negara ini dan meningkatkan akses penduduk kepada perkhidmatan-perkhidmatan dan produk kewangan yang sedia ada.

Kaji selidik tersebut akan mengukur tahap rangkuman kewangan bagi individu-individu dengan hasil kaji selidik akan membantu dalam pelaksanaan analisis dan penggubalan dasar yang berkesan.

AMBD dalam kenyataannya itu telah melaksanakan pelbagai inisiatif rangkuman kewangan AMBD, seperti pengeluaran Digital Payment Roadmap for Brunei Darussalam 2019-2025, yang menggalakkan sektor kewangan untuk meningkatkan lagi tahap rangkuman kewangan digital di negara ini.

Ia juga secara aktif mengadakan beberapa kursus-kursus, bengkel-bengkel pengurusan kewangan dan penglibatan media sosial yang bertujuan untuk meningkatkan celik kewangan, dan seterusnya menyumbang kepada rangkuman kewangan.

Bagi maklumat lanjut mengenai kajian itu, orang ramai boleh menghubungi pihak Isu Pengguna Kewangan, AMBD di talian 2380007 atau melalui e-mel di [email protected]