‘Kaji semula perjanjian perdagangan bebas ASEAN’

NEW DELHI, 5 OGOS – Seorang menteri di sini telah meminta agar perjanjian perdagangan bebas negara itu dengan ASEAN dikaji semula, dengan alasan bahawa ia tidak membantu dalam mencapai jumlah perdagangan yang lebih besar.

“Kajian semula ke atas Perjanjian Perdagangan untuk Barangan India-ASEAN masih lagi belum selesai,” kata menteri perdagangan Hardeep Singh Puri dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Press Trust of India.

“Defisit perdagangan tahunan India dengan ASEAN berjumlah hampir AS$24 bilion. Sebabnya banyak dan saya ingin lihat defisit perdagangan ini mengecil dalam beberapa bulan dan tahun akan datang,” kata menteri itu.

Puri menyatakan demikian pada satu persidangan maya Selasa lepas yang turut disertai oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Senator Lim Ban Hong.

Beliau berkata kajian semula Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India berpotensi dapat menggandakan perdagangan antara India dan 10 anggota blok Asia Tenggara, demikian menurut siaran akhbar yang dikeluarkan oleh penganjur persidangan, Confederation of Indian Industry (CII). Perjanjian FTA dimeterai pada 2009 dan berkuat kuasa pada 1 Januari, 2010.

Kenyataan menteri itu menggambarkan ketidakpuasan hati India yang kian meningkat dengan FTA sedia ada.

Bulan lepas, Menteri Luar S. Jaishankar berkata FTA yang dimeterai India selama ini tidak membantu ekonomi India. – Bernama